GERIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihatkan pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini khususnya yang memandu kenderaan kecil untuk mengelakkan laluan tersebut pada waktu malam.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kejadian gajah mengamuk hingga merosakkan kenderaan yang berlaku semalam, berhampiran dengan lokasi haiwan itu selalu berkumpul.
“Sebenarnya lokasi itu (kejadian) berhampiran Batu 11 tempat yang selalu gajah memang ada, kawasan macam padang sikit.
“Justeru, kita menasihatkan pengguna jalan raya khususnya kenderaan kecil supaya tidak melalui kawasan itu pada waktu malam. Lalu kawasan itu antara jam 10 pagi hingga 4 petang.
“Bagaimanapun, jika pengguna mahu melalui jalan tersebut (pada waktu malam) berhati-hati, ikutlah arahan kita,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengenai kejadian itu sekitar jam 8.40 malam tadi.
“Didapati ada enam ekor gajah, dengan seekor darinya gajah jantan tak bergading sedang naik minyak (musth).
“Tindakan halau dilakukan dan pemandu kereta kemudiannya membuat laporan polis,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya memang mempunyai pasukan melakukan rondaan waktu malam bagi menghalau gajah-gajah yang melalui jalan tersebut.
“Semalam, team (pasukan) saya tak sempat kerana mereka baru balik pindahkan gajah.
“Sepatutnya memang ada team yang ada di kawasan berhampiran untuk halau gajah-gajah itu pada awal waktu malam.
“InshaAllah malam ini team kita ada, akan meronda sepanjang jalan tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pemilik kereta Toyota Vios iaitu lelaki berusia 39 tahun yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik sekitar jam 11.36 malam pada Selasa.
Gajah terbabit dipercayai menyerang kereta tersebut selepas mendengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang kereta berkenaan.- MG Perak
Artikel Berkaitan: