LENGGONG – Seramai 25 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong yang berlangsung meriah dengan kehadiran 25,000 tetamu di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dekat sini, pada Ahad.
Program tahunan itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan serta Majlis Pelancongan Lenggong.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penganjuran kali ini lebih istimewa apabila 25 pasangan diraikan bersempena tarikh 25 Mei 2025, sekali gus menjadikan detik itu sebagai kenangan bermakna buat mereka
Katanya, kesemua pasangan berkenaan telah selamat diijabkabulkan dan disusuli dengan majlis berinai menerusi program sama pada Sabtu.
“Pada program ini, kita menampilkan elemen budaya perkahwinan mengikut tradisi Melayu seperti malam berinai serta hidangan kenduri yang disediakan secara bergotong-royong.
“Sebanyak 10 kampung di sekitar Lenggong terlibat dalam menyediakan hidangan untuk majlis kenduri kahwin. Di samping itu, sambutan dalam kalangan masyarakat setempat sangat luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dekat sini, pada Ahad.
Terdahulu, majlis itu dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin, serta turut dihadiri bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Selain itu, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, setiap pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran penyertaan, sebaliknya hanya perlu menyediakan mas kahwin dan wang hantaran.
“Pakaian pengantin, jurusolek, kenduri dan semua keperluan disediakan sepenuhnya oleh pihak penganjur.
“Malah, kita juga menyediakan penginapan percuma kepada pasangan pengantin untuk berbulan madu di kawasan-kawasan pelancongan sekitar Lenggong,” katanya lagi.
Tambah beliau, penganjuran Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong turut memberi impak kepada ekonomi setempat apabila semua bilik hotel dan inap desa di daerah berkenaan habis ditempah oleh ahli keluarga pengantin.
Justeru, Shamsul Anuar memberitahu, pihaknya berharap agar pada masa hadapan, program berkenaan dapat melibatkan penyertaan pengantin bukan Melayu selain acara dimasukkan dalam kalendar pelancongan Lenggong. – MG Perak
Artikel Berkaitan: