Graduan Sekolah Patriotik UMNO jadi aset parti – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR – Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO diyakini bakal menjadi aset kepada parti politik Melayu itu untuk meneruskan kelangsungan dan terus kekal relevan dalam landskap politik negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk memastikan kualiti graduan yang dilahirkan kelak, pihaknya hanya membuat pengambilan yang terhad.

“Alhamdulillah sambutan begitu baik, malahan batch kedua belum tamat lagi dan sudah ada permohonan untuk batch ketiga, semalam saya sempat melawat sekejap di mana hampir 200 orang memohon.

“Kita akan jaga kualiti dan saya berharap mereka yang dilahirkan ini dapat benar-benar apa yang kita hasratkan. Pengambilan ketiga mungkin 50 hingga 60 orang sahaja, kita tidak mengejar kuantiti, tapi kita mementingkan kualiti.

“Dalam masa sama mereka ini akan menjadi aset kepada organisasi, kita sangat yakin,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Koleksi Buku Eksklusif dan Pristine Pahang Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-42.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 48 graduan menerima skrol pada Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO sempena Hari Ulang Tahun UMNO Ke-79 pada 11 Mei lalu.

Wan Rosdy yang juga pengetua pertama Sekolah Patriotik UMNO berkata, pendedahan pelajar kepada pendidikan dan dunia politik sebenar yang diwujudkan UMNO tidak dapat dipelajari di mana-mana institusi.

“Sekolah ini sebenarnya tidak dapat dipelajari di mana-mana, mata pelajarannya, cara pembelajarannya adalah sangat berbeza.

“Ini kerana kita ingin melahirkan seorang pemimpin yang mempunyai jati diri, mental fizikal tahan serta mempunyai wawasan dan sayang kepada negara dan negeri.

“Ini untuk memastikan graduan SPU ( Sekolah Patriotik UMNO) ini mempunyai semangat patriotik tinggi dalam kalangan mereka,” katanya.

Katanya, beliau melahirkan rasa teruja walaupun pendidikan politik itu baru diperkenalkan, namun 48 graduan pertamanya sudah menunjukkan kualiti dan ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki dalam parti.

“Saya dapati mereka mempunyai kelebihan, selain kursus di pengajian tinggi awam ataupun swasta, apa yang dipelajari di SPU ini mempunyai kelebihan.

“Terutama dari segi bagaimana sayangkan kepada organisasi, taat, setia serta lebih penting komited untuk menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI