GOPENG – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan pengeluaran bawang merah kecil tempatan atau Bawang Perak sebanyak 140 tan metrik tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri sedang berusaha memperluaskan projek yang dimulakan di Daerah Batang Padang ke tiga daerah baharu.
Menurut beliau, kawasan yang dikenal pasti pada peringkat awal ialah Daerah Kuala Kangsar, Muallim dan Perak Tengah.
“Kita akan menyediakan kawasan baharu yang memenuhi semua keperluan serta kriteria untuk tanaman Bawang Perak.
“Walaupun bawang ini boleh ditanam di mana-mana, antara kriteria penting ialah tanah yang subur bagi menjamin pengeluaran yang memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup FAMA Fest 2025 @ Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Menurut Jabatan Pertanian Perak, sebanyak 12.40 tan metrik Bawang Perak berjaya dihasilkan tahun lalu menerusi kawasan tanaman seluas sembilan hektar di Batang Padang dan Daerah Kinta.
Pada April lalu, media melaporkan kejayaan Perak menjadi negeri pertama di negara ini yang berjaya menghasilkan bawang tempatan, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Bawang Perak.
Projek rintis itu merupakan kerjasama antara Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (Perak SADC), membabitkan tanaman bawang pertama di Kampung Ladang Bikam, Sungkai.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 JUN 2025.
Terdahulu ketika ucapan Saarani berkata, Perak sememangnya mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian seperti di Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak yang telah lama menjadi tunjang utama kepada bekalan hasil tanaman negara.
“Berbekalkan tanah yang subur, sumber air mencukupi serta tenaga kerja yang rajin, negeri ini mempunyai asas kukuh untuk meneroka masa depan agromakanan secara lebih strategik dan mampan.
“Justeru, berasaskan kekuatan sedia ada ini, hasrat kita kini bukan hanya untuk memperkukuh pengeluaran, tetapi menstrukturkan semula rantaian nilai dari ladang hingga ke pasaran eksport,” katanya lagi.
Sementara itu, Arthur Joseph berkata kejayaan pembangunan tanaman Bawang Perak membuka ruang kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 juta kepada negeri ini bagi memperluaskan projek tersebut.
“Antara pencapaian yang amat membanggakan adalah kejayaan pengeluaran Bawang Perak, pengeluaran bawang yang pertama di Malaysia secara komersial,” tambah beliau.
Mengulas tentang program Arthur Joseph berkata, FAMA Fest 2025 @ Perak menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta dengan penyertaan lebih 120 orang usahawan melalui 210 lot jualan dan pameran yang melibatkan pelbagai kluster produk agromakanan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
3.3 metrik tan ‘Bawang Perak’ sudah dituai, mula masuki pasaran