IPOH – Penduduk di Perak, khususnya sekitar bandar raya ini, diminta agar kekal bertenang susulan insiden bunyi letupan dan gegaran kuat yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun kejadian seumpama itu pernah berlaku tahun lalu, keadaan semasa masih dilaporkan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Tahun lalu juga berlaku letupan misteri seperti ini yang didakwa turut didengar penduduk di Taiping dan Kuala Kangsar. Malah, tahun ini turut berlaku kejadian sama di Selangor.
“Oleh itu, saya harap orang ramai tidak perlu panik kerana saya percaya perkara ini sedang dikaji oleh jabatan atau agensi berkaitan, termasuk pakar geologi, untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.
Pada Rabu Malaysia Gazette (MG) Perak melaporkan, bunyi letupan dan gegaran kuat berlaku di sekitar bandar raya ini terutamanya di Klebang dan Chemor serta beberapa kawasan berhampiran.
Susulan daripada itu Polis perak akan mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan termasuk operator kuari bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Untuk rekod, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Selangor seperti Shah Alam, Denai Alam, dan TTDI Jaya pada 21 Mei lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bunyi letupan, gegaran Ipoh: Polis panggil operator kuari, agensi