IPOH – Polis Perak menunjukkan komitmen tinggi dengan menganjurkan kempen derma darah bagi membantu masyarakat yang memerlukan di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin meluahkan rasa bangga di atas semangat dan komitmen anggota dan pegawai dari seluruh daerah yang tampil untuk menyumbang darah sekali gus menunjukkan nilai keprihatinan serta semangat sukarela yang tinggi dalam kalangan mereka.
Menurutnya, kemalangan, kebakaran, pembedahan serta penyakit serius seperti kanser, thalesemia dan leukemia sering memerlukan pemindahan darah untuk merawat pesakit, termasuk mereka yang menjalani pemindahan organ.
“Setiap permasalahan ini bergantung kepada pemindahan darah, dan oleh itu, sumbangan dan keprihatinan orang ramai untuk menderma darah amatlah diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program derma darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena peringatan Hari Polis Ke-218 tahun 2025 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, pendermaan darah harus dilihat sebagai tanggungjawab sosial setiap individu dalam masyarakat bagi memastikan bekalan darah mencukupi.
“Tanpa sokongan dari orang ramai, adalah mustahil pihak Pusat Darah Negara dan lain-lain tabung darah di seluruh negara dapat menyediakan darah yang secukupnya bagi menampung keperluan yang semakin meningkat setiap tahun,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap segelintir masyarakat yang masih dibayangi dengan persepsi negatif terhadap pendermaan darah.
“Ada yang beranggapan menderma darah boleh meninggalkan kesan sampingan kepada fizikal seperti rasa tidak selesa dan lemah badan.
“Justeru, persepsi ini harus dikikis, amalan menderma darah perlu dipandang secara positif, dan dianggap sebagai suatu nilai murni dan mulia bagi menyelamatkan nyawa insan-insan yang memerlukan,” katanya.
Program yang turut mendapat kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu berjaya mengumpulkan seramai 300 penderma darah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: