IPOH – Perak FA yang bakal bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 berharap dapat kembali beraksi Liga Super pada masa akan datang.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mempunyai impian dan cita-cita supaya pasukan tersebut dapat kembali semula bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara.
“PAFA mempunyai impian dan cita-cita supaya pasukan yang bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro ini akhirnya berjaya dan mungkin pergi ke Liga Super,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Pesta Sukan Ukur Semalaysia (PESUMA) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin berkata, setakat ini 24 daripada 30 pemain telah menerima surat tawaran pada 27 Jun lalu dan PAFA dalam proses untuk mengenalpasti pemain import yang sesuai untuk menyertai pasukan tersebut.
“Seramai 24 pemain telah menandatangani dan 11 daripada mereka adalah pemain senior dan 13 lagi adalah pemain yang kita kategorikan sebagai pasukan pelapis ataupun sokongan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
“Pihak pengurusan juga sedang mengenalpasti beberapa pemain import yang bersesuaian dengan sistem permainan dan mungkin berdasarkan gaji serta perkara berkaitan.
“Kita (kerajaan negeri) tiada halangan (untuk ambil pemain import) itu terpulang kepada pihak pengurusan tertinggi PAFA sebab itu di bawah bidang kuasa mereka.
“Bagaimanapun, kita sentiasa menyambut baik untuk perkembangan pasukan, khususnya bola sepak negeri Perak,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh stadium yang akan digunakan Perak FA pada saingan Liga A1 Semi-Pro itu, Khairudin berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan.
“Alternatif yang boleh digunakan adalah untuk bermain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Stadium Manjung) tetapi mereka perlu berunding dan mendapatkan persetujuan bagi menggunakan lokasi tersebut.
“Ini kerana Stadium Manjung juga digunakan oleh liga atau Kelab Manjung FC untuk kejohanan-kejohanan lain. Jadi, perkara ini masih belum diputuskan.
“Pada masa sama, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga sedang menjalankan kerja-kerja untuk penukaran rumput padang (Zeon Zoysia) di Stadium Perak.
“Kita harap kalau sudah siap dan boleh digunakan mungkin perlawanan Liga A1 Semi-Pro akan bermain di Stadium Perak tetapi bergantung kepada kesiap-siagaan padang yang sedang dinaik taraf ini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: