Di mana Maisarah menghilang?

MELAKA – Hibanya hati pasangan suami isteri memikirkan di manakah anak gadis bongsu berusia 14 tahun yang hilang selepas keluar dari rumah mereka di Taman Seri Telok Emas, Telok, Mas di sini sejak 8 Mei lalu dan masih tidak ditemui sehingga kini.

Noorlaili Mahat, 53, berkata, dia dan suami Mohd Hasan Elias, 52, serta dua lagi anak perempuannya sudah buntu memikirkan di mana lagi hendak mencari Nor Alieya Maisarah, 14.

“Hari ini genap 60 hari adik hilang membuatkan mama dan papa terlalu rindu dan sudah penat berendam air mata memikirkan apa lagi yang perlu dibuat untuk mencari adik.

“Mama dan papa berdoa minta janganlah jadi apa-apa pada adik kerana mama takut tidak dapat menerima kenyataan sekiranya adik sudah tiada namun hati mama merasakan adik masih ada (hidup),” katanya hiba ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Semasa ditemubual, Noorlaili terpaksa ditenangkan suaminya kerana gagal menahan emosi dan bercakap dengan gambar anaknya itu merayunya segera pulang kerana terlalu rindu sambil mengesat air mata.

Menurutnya, sehingga ke hari ini, hanya bantal busuk dan baju sekolah dipakai Maisarah yang tidak dibasuh pada hari kehilangannya selepas pulang dari sekolah dan keluar semula pada pukul 4 petang menjadi pengubat rindu.

“Baliklah adik, rumah terlalu sunyi bila tiada gelak tawa adik bersama mama, papa dan kakak. Siapa sahaja yang ambil anak saya kasihanilah kami yang tidak punyai harta selain anak-anak,” katanya menyeka air mata.

Mohd Hasan Elias reda dengan apa sahaja ketentuan Ilahi namun mahu melihat anak gadisnya itu yang amat rapat dengannya kembali ke rumah sama ada dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

“Saya betul-betul buntu memikirkan di manakah keberadaan Maisarah sama ada hidup atau apa berlaku pun tak tahu. Macam ibu bapa kita bila sudah meninggal dunia, kita tahu di mana kuburnya.

“Menangis air mata darah pun siapalah saya hendak menidakkan ketentuan Allah cuma saya mahu anak yang selama ini amat manja dengan saya dan isteri pulang ke pangkuan kami dalam apa juga keadaan,” katanya.

Tambahnya, dia juga berharap polis dapat membantunya memberikan sebarang petunjuk agar anaknya itu dapat segera ditemui.

“Saya merayu kepada polis bantulah saya dalam kes ini kerana saya terus buat laporan dalam masa 24 jam selepas kehilangan Maisarah dan tidak mengambil masa yang lama kerana risau ia akan menyukarkan usaha mengesannya,” rayunya lagi.

Pada 25 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan Noorlaili yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran ikan bakar di Alai berkata, Maisarah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sejak pulang dari sekolah pada 8 Mei lalu malah ceria seperti biasa.

Kehilanggannya disedari kakak remaja itu pada pukul 4 petang selepas Maisarah memberi alasan mahu keluar ke kedai di hadapan rumah namun tidak pulang sehingga ini sebelum mendapati beg sekolah dan beberapa helai pakaian miliknya juga sudah tiada.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Maisarah boleh menghubungi ibunya di talian 014-381 8326.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI