IPOH – Di celah-celah keriuhan dan kesibukan pelanggan membeli barangan basah untuk juadah harian, terselit beberapa peniaga yang menjual bunga segar di Pasar Besar Ipoh.
Sesiapa yang melangkah masuk ke lorong berkenaan pasti akan terhidu pelbagai bau harum yang datang daripada deretan perniagaan bunga segar di tingkat dua pasar ikonik itu.
K. Murugamah, 58, merupakan antara peniaga bunga segar yang telah bertapak di pasar berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Keramahannya dalam berbicara menjadikan Kedai Bunga Fooh Choon antara kedai yang sering dikunjungi pelanggan untuk mendapatkan bunga segar.
Menurut nenek kepada dua cucu itu, walaupun usianya sudah menghampiri emas, minatnya terhadap bunga-bungaan segar telah lama berputik dalam jiwanya.
“Pada awalnya saya hanya membantu suami, tetapi kini saya bersama seorang anak perempuan turut sama-sama mengusahakan perniagaan keluarga ini.
“Saya memang suka bunga-bunga segar. Malah, jika ada bunga yang tidak terjual, saya akan bawa pulang dan tanam di halaman rumah.
“Kalau ikutkan hati, memang penat berniaga, tetapi saya seronok melihat dan menjual bunga. Tambahan pula, apabila ada yang minta saya siapkan jambangan untuk majlis perkahwinan atau hari jadi, saya pun rasa gembira,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Pasar Besar Ipoh.
Murugamah berkata, bunga ros, lili, kekwa, matahari, ‘baby’s breath’, dan kantan antara jenis bunga yang sering menjadi pilihan pelanggan di kedainya.
Selain Hari Kekasih dan Hari Ibu, kebanyakan pelanggan juga berkunjung ke kedainya untuk mendapatkan bunga segar bagi sambutan hari jadi, konvokesyen, mahupun tujuan keagamaan.
“Tidak sukar menjaga bunga-bunga ini kerana kami hanya perlu menukar air setiap hari. Tambahan pula, semua bunga yang dijual adalah segar dan diperoleh setiap hari.
“Ada bunga yang diimport dari luar negara, tetapi kebanyakannya dibekalkan dari Cameron Highlands, Pahang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, harga bunga segar di kedainya berbeza mengikut jenis, iaitu antara RM1.20 hingga RM10 sekuntum.
Selain menjual bunga, kedainya juga menyediakan perkhidmatan menggubah jambangan mengikut bajet dan pilihan bunga pelanggan.
“Pelanggan kami terdiri daripada berbilang bangsa, kebanyakannya penduduk tempatan sekitar Ipoh.
“Namun begitu, kami juga sering menerima tempahan bunga dari luar Ipoh seperti Kuala Lumpur dan Johor,” katanya lagi.
Kedai Bunga Fooh Choon yang terletak dalam Pasar Besar Ipph beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 7 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Naik taraf Pasar Besar Ipoh: Peniaga positif, harap fasiliti ditambah baik