TAPAH – Dua lelaki warga China maut manakala seorang lelaki tempatan cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer (km) 316.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat sini, pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chong Hong, 41, seorang pengurus syarikat, dan Yucheng Pan, 41, bekerja sebagai pengurus pemasaran, masing-masing berasal dari Guangdong, China.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, kedua-dua mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Katanya, seorang lagi mangsa, iaitu pemandu kenderaan yang berusia 56 tahun mengalami kecederaan pada bahagian leher, kaki dan tangan.
“Hasil siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mereka sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta jenis Toyata Vios.
“Ketika di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mereka itu dipercayai cuba mengelak sebuah lori yang menukar haluan di hadapan, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Kata beliau, kedua-dua mangsa maut dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat sementara saksi di tempat kejadian sedang giat dikesan pihak polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis sedang mendapatkan rakaman kamera papan pemuka kereta tersebut.
“Selain itu, kenderaan sama turt dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut,” jelas Johari.
Terdahulu menerusi kenyataan berasingan, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah berjaya membawa keluar kesemua mangsa yang tersepit daripada bangkai kenderaan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: