KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengaitkan masalah ekonomi dan inflasi negara kononnya kerana kesilapan rakyat memilih pemimpin yang “tidak beriman” serta menyokong fahaman liberal dan sekular.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab, tidak berasaskan fakta dan hanya bertujuan menanam kebencian tanpa menyumbang sebarang penyelesaian.
Ujarnya, kenyataan itu juga bukan sahaja mengelirukan, malah menghina kebijaksanaan rakyat serta menunggang agama untuk menutup kegagalan politik sendiri.
Sedangkan, jelas beliau, menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), kadar inflasi negara bagi Mei 2025 ialah 1.2 peratus iaitu terendah dalam tempoh 51 bulan dan setara dengan negara-negara seperti Korea Selatan (1.9 peratus), Indonesia (1.6 peratus) dan Filipina (1.3 peratus).
“Ini menunjukkan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan stabil dan terkawal hasil dasar fiskal serta subsidi bersasar yang dirangka dengan teliti oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambah beliau, Amanah menolak keras budaya memperalatkan agama untuk menghasut rakyat dan menuduh mereka yang berbeza pandangan politik sebagai tidak beriman atau perosak.
Sedangkan, ujarnya, Islam mengajar umatnya berlaku adil dalam menilai seseorang iaitu bukan berdasarkan parti, tetapi pada akhlak, ilmu dan kemampuan mentadbir.
“Menghukum rakyat kerana memilih secara sah dalam demokrasi adalah satu penghinaan terhadap sistem yang kita sama-sama perjuangkan sejak merdeka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sekiranya dakwaan Abdul Hadi itu benar, maka mengapa negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas seperti Kelantan dan Terengganu masih berhadapan dengan isu asas seperti air, pelaburan dan peluang pekerjaan.
“Adakah negeri ini di tadbir olih pemimpin yang tak beriman dan makhluk perosak?” katanya.
Sementara itu, Mahfuz turut mengingatkan agama tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kelemahan dasar atau kegagalan tadbir urus.
Sebaliknya, kata beliau, keimanan dan integriti dalam politik mesti diterjemah dalam bentuk dasar yang adil, ekonomi yang mampan dan kebajikan untuk semua bukan sekadar ceramah atau retorik mimbar dan pentas.
“Apa sumbangan Pas ketika jadi kerajaan? Rakyat tidak lupa bahawa semasa mereka memegang kuasa, tiada reformasi struktur, dan dasar populis yang ditinggalkan hanya memperbesar defisit,” katanya. – MalaysiaGazette