TAIPING – Budaya berpuak-puak dan mengadu domba dalam kalangan ahli serta pemimpin UMNO dikenal pasti antara punca utama kelemahan parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan gejala itu sebagai ‘politik sate’, yang boleh merosakkan perpaduan parti apabila wujud golongan tertentu yang membolak-balikkan keadaan demi kepentingan peribadi.
“Saya tekankan kepada semua perwakilan bahawa untuk UMNO kembali kuat dan menang dalam pilihan raya, asas utamanya adalah kesatuan. Sebab itu cogan kata kita ialah ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’.
“Tetapi malangnya, dalam UMNO wujud budaya ‘politik sate’, ada tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar, tukang balik ke sana sini, mengadu domba dan mewujudkan kabilah dalam parti serta sengketa sesama pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Sollehin Mohamad Tajie.
Asyraf berkata, budaya seumpama itu mesti dihentikan serta-merta kerana ia hanya mengalihkan fokus daripada matlamat perjuangan asal penubuhan UMNO.
“Kita perlu kembali kepada asas perjuangan, menjaga dan memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Jika kita lalai, budaya negatif ini akan terus melemahkan kita,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua MRSM laksana projek perintis warden bekas pegawai tentera, polis mulai Ogos