IPOH – Peruncit barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) diumumkan sebagai penaja utama pasukan bola sepak negeri, Perak FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.
Perkara itu diumumkan selepas majlis menandatangani kontrak penaja antara
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diwakili Presiden, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Al-Ikhsan diwakili Ketua Pembangunan Perniagaan Jenama, Anwar Mamtaj di sini, pada Sabtu.
Mohd Azhar berkata, susulan itu, Al-Ikhsan akan membekalkan pakaian dan kelengkapan rasmi pasukan yang akan digunakan oleh pemain dan pegawai sepanjang musim ini.
“Sebagai permulaan, pasukan akan menggunakan jersi sementara bagi tiga perlawanan awal musim, sebelum pelancaran rasmi jersi yang dijadual berlangsung pada September.
“PAFA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Al-Ikhsan atas sokongan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Mohd Azhar, tajaan dan kerjasama itu bukan sahaja memenuhi keperluan asas pasukan, malah menjadi simbol keyakinan harapan penyokong serta hala tuju baharu yang sedang digerakkan PAFA.
“Kami percaya, kehadiran semula jenama Al-Ikhsan bersama Perak FA akan menghidupkan kembali semangat dan kenangan manis tahun 2018, saat kita menjulang Piala Malaysia dan meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA).
“Moga kerjasama ini menjadi pemangkin kebangkitan semula bola sepak Perak, dan menyatukan semula para penyokong,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: