Pelajar universiti rugi hampir RM200,000 diperdaya ‘phone scam’

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar perempuan di sebuah universiti awam di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM187,800 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil Touch n Go.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 4 Ogos lepas, mangsa yang berusia 26 tahun menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa beliau telah menyalah guna aplikasi berkenaan dan terlibat dalam penggubahan wang haram serta pengedaran dadah.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuat sejumlah pembayaran melalui pindahan wang untuk tujuan siasatan dan membersihkan namanya.

“Mangsa yang panik dan takut telah membuat lapan kali bayaran ke enam akaun berbeza dalam tempoh 4 hingga 9 Ogos menggunakan simpanan sendiri dan wang dalam akaun ibu bapanya yang diambil tanpa pengetahuan.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin dan loket milik beliau dan ibunya kepada seorang suspek wanita di tepi jalan Pantai Penarik, Setiu pada 9 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis kira-kira 9.43 malam tadi.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengecam dan memberikan gambaran terperinci mengenai suspek wanita yang ditemuinya kerana individu itu memakai pelitup muka.

“Saya minta orang ramai supaya jangan mudah percaya dan menyemak terlebih dahulu talian telefon serta akaun yang digunakan oleh suspek melalui aplikasi Semak Mule.

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian Nasional Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang pindahan wang ke akaun pihak ketiga,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI