Perak giat perkukuh pertanian bandar demi keterjaminan makanan

RUANG kecil di halaman rumah atau bumbung bangunan diubah menjadi lokasi penghasilan makanan antara contoh mudah aktiviti pertanian bandar.

Secara umum, pertanian bandar merujuk kepada kaedah bercucuk tanam, menternak haiwan kecil, atau aktiviti berkaitan pertanian di kawasan bandar dan pinggir bandar, bagi menghasilkan bahan makanan segar untuk kegunaan sendiri atau masyarakat setempat.

Kaedah serampang dua mata itu bukan sahaja memanfaatkan ruang terhad, malah secara tidak langsung membantu meningkatkan tahap sekuriti makanan negara di tengah ketidaktentuan ekonomi dan perubahan cuaca semasa.

Di Perak, usaha memperkukuh sektor ini menjadi pelengkap kepada agenda keterjaminan makanan sebagaimana digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, yang digagaskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Langkah itu turut selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) yang memberi fokus kepada pemodenan sektor agromakanan, selain menggalakkan penglibatan meluas masyarakat dalam rantaian bekalan makanan negara.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri komited memajukan sektor pertanian bagi meningkatkan hasil agromakanan dan memperluaskan nisbah kawasan tanaman makanan demi menjamin keterjaminan makanan negeri.

“Melalui Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri menjadikan keterjaminan makanan sebagai salah satu agenda terpenting.

“Dengan populasi negeri yang kini berjumlah 2.5 juta orang, usaha ini memberi fokus kepada pengeluaran makanan berskala besar, penerapan teknologi pintar dalam sektor pertanian, serta pemerkasaan tenaga kerja mahir.

“Ini adalah langkah strategik negeri untuk memastikan sektor ini terus berkembang dengan lebih dinamik dan mapan,” katanya ketika merasmikan Seminar Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Negeri di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Program Pertanian Komuniti sebagai pemangkin

Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3.22 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri bagi tempoh lima tahun untuk membangunkan Program Pertanian Komuniti yang menyasarkan penduduk bandar dan luar bandar.

Mohd Zolkafly berkata, sejak 2021 hingga suku kedua tahun ini, seramai 6,420 peserta telah terlibat merangkumi 917 lokasi di seluruh Perak.

Menurutnya, program itu merekodkan nilai pengeluaran melebihi RM134,000 dan disokong dengan 210 sesi pemindahan teknologi berbentuk latihan berterusan.

“Inisiatif ini telah berjaya membantu mengurangkan kos sara hidup isi rumah dengan membolehkan penghasilan makanan secara kendiri.

“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan pendapatan tambahan peserta, serta menggalakkan kerjasama sosial dan amalan pemakanan sihat dalam kalangan komuniti bandar dan luar bandar,” ujar beliau.

Gabungan teknologi moden dan kelestarian

Mengiktiraf potensi teknologi dalam memperkasakan pertanian bandar, Mohd Zolkafly menegaskan sektor itu perlu digerakkan dengan gabungan inovasi dan amalan mampan.

“Pertanian yang moden dan mampan mampu menjadi sektor yang menguntungkan negeri sekiranya digabungkan dengan teknologi baharu, inovasi, dan strategi pemasaran yang berkesan.

“Melalui cara itu, sektor pertanian akan terus menjadi komponen penting yang melengkapi pembangunan industri dan sektor ekonomi yang lain,” katanya lagi

Justeru, hal ini dapat dilihat bahawa pertanian bandar bukan lagi sebagai pilihan sampingan, sebaliknya ia harus menjadi salah satu strategi utama dalam mengukuhkan keterjaminan makanan negara.

Langkah proaktif melalui pelaksanaan Program Pertanian Komuniti, sokongan teknologi moden, dan penglibatan meluas rakyat memberi gambaran jelas bahawa negeri Perak kini berada di landasan tepat.

Malah, dengan penglibatan aktif masyarakat, Perak berpotensi menjadi model pertanian bandar yang berjaya, sekali gus menyumbang kepada daya tahan ekonomi dan kelestarian makanan negara. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pertanian bandar jimat RM40 seminggu belanja isi rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI