Pas, jangan putar belit isu penjenamaan semula TH – Mahfuz

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH) bukan penggadaian aset umat Islam sebaliknya kesinambungan usaha pemulihan bagi mengukuhkan institusi itu, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, tuduhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mendakwa TH digadai kepada bukan Islam hanyalah fitnah politik sempit yang sengaja dimainkan bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Fakta jelas menunjukkan kerosakan Tabung Haji berlaku sebelum kerajaan PH 1.0 memerintah apabila akaun dimanipulasi, aset rugi berbilion ringgit dan pendeposit hampir menjadi mangsa.

“Langkah menyelamatkan TH bermula pada 2018 dengan penstrukturan semula, pembersihan aset dan pembaikan tadbir urus. Tanpa langkah itu, Tabung Haji mungkin sudah lumpuh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, penjenamaan semula Tabung Haji pada tahun 2025 hanya melibatkan imej korporat dan tidak sesekali mengubah aspek ibadat haji atau umrah.

“Dalam ihram tetap tidak boleh memakai seluar dalam berjahit, tawaf tetap tujuh pusingan mengelilingi Kaabah, sa’i tetap di Safa dan Marwah, wuquf tetap di Arafah, dan melontar tetap di Mina tiga Jumrah, bukannya di lokasi lain seperti yang cuba dipersendakan PAS,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mendakwa PAS tidak seharusnya berlagak suci kerana kerajaan Kelantan sendiri pernah memberi konsesi balak dan tanah kepada syarikat bukan Islam termasuk dari luar negara.

“Kalau itu tidak dipanggil gadai kepada bukan Islam, apa lagi? Hakikatnya, kerajaan Madani sedang mempertahankan institusi Islam, manakala PAS di negeri tadbirannya sanggup menyerahkan tanah demi keuntungan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menegaskan PAS sebenarnya tahu kebenaran tetapi memilih untuk menipu serta menakut-nakutkan umat Islam dengan isu yang tidak wujud.

“Islam melarang fitnah dan penipuan, tetapi PAS menjadikannya modal politik.

“Siapa sebenarnya pengkhianat umat? Bukankah kerajaan Madani yang memperkukuhkan Tabung Haji, sedangkan mereka menutup mata ketika TH hampir runtuh dahulu?

“PAS boleh terus menyalak dengan fitnah dan pembohongan tetapi rakyat tidak akan lupa siapa yang hampir menggadaikan masa depan pendeposit dengan salah urus, dan siapa yang berusaha menyelamatkannya,” tambahnya.

Beliau juga menegeaskan kerajaan Madani akan terus mempertahankan Tabung Haji sebagai institusi kebanggaan umat Islam dan yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan fitnah yang dijaja PAS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI