IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan ibu pejabat baharu Lembaga Air Perak (LAP), Menara Air Perak, di Basco Avenue @ Kepayang dekat sini, pada Isnin.
Turut berangkat ke majlis perasmian, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda pada majlis, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pengurus Besar LAP, Ir. Lokman Abd Rahim.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan al-Quran dan sembah ucapan Menteri Besar.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebelum berangkat ke ruang pameran di Menara Air Perak.
Bangunan setinggi 14 tingkat itu terletak kira-kira 5 kilometer (km) daripada bangunan ibu pejabat lama di Jalan St. John, dekat sini.
Menara Air Perak yang mula dibina pada Mac 2016 dengan kos RM92 juta itu siap pada Februari 2023, sebelum beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.
Bangunan itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pejabat pentadbiran, command centre atau pusat kawalan, dewan bankuet, surau, taska dan gimnasium. – MG Perak
Artikel Berkaitan: