SIMPANG PULAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, menerima 684 aduan melibatkan pembakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, aduan tersebut adalah yang tertinggi diterima JAS Perak melibatkan kawasan taman perumahan.
Bagaimanapun, menurutnya, jumlah itu menurun berbanding tahun lalu yang merekodkan sekitar 1,000 aduan bagi tempoh sama.
“Susulan itu, kita menyasarkan komuniti setempat untuk melakukan kempen berkaitan larangan pembakaran terbuka bagi menyampaikan maklumat berhubung impak yang akan berlaku kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Tahun ini kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan khusus bagi melaksanakan program-program komuniti pencegahan pembakaran terbuka.
“Selain itu, di bawah peruntukan sama, JAS Perak turut melaksanakan program Masjid Lestari bagi 20 masjid perintis yang dipilih di sekitar Perak.
“Ini adalah strategi jabatan bagi menyebarluaskan kempen berkaitan pembakaran terbuka di peringkat komuniti setempat dengan menjadikan masjid sebagai hab kelestarian alam sekitar,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Komuniti Taklimat Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) sempena Hari Ozon Sedunia di Dewan Kampung Serdang Permai, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Ezanni berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempertingkatkan penguatkuasaan larangan pembakaran terbuka kepada orang awam dan pemaju binaan supaya mengikut peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Penguatkuasaan ini bagi membendung isu pembakaran terbuka dan mengurangkan pencemaran udara di kawasan PBT,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Aktiviti kuari dipastikan tidak ganggu ekosistem alam sekitar