IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan Stor Sitaan Lahat berkeluasan 0.26 hektar bagi menempatkan kenderaan lusuh yang disita pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kawasan itu masih mampu menyimpan kenderaan yang disita namun kapasitinya agak terhad.
“Setakat ini sebanyak 30 buah kenderaan lusuh telah disimpan di stor berkenaan,“ katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan penyitaan dilaksanakan di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang membolehkan penggubalan Undang-Undang Kecil bagi menjaga keselamatan, kebersihan dan keindahan kawasan pentadbiran.
Bagaimanapun, menurutnya, proses pelupusan memerlukan penglibatan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang beroperasi di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai pendaftar dan pengawal selia semua kenderaan bermotor.
“MBI turut mengambil langkah proaktif dengan menampal risalah bersama notis alih bagi memaklumkan pemilik kenderaan mengenai tiga syarikat kitar semula berlesen yang boleh dihubungi untuk pelupusan secara kendiri.
“Ini memberi pilihan kepada pemilik tanpa menunggu tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri tidak hanya menekankan aspek penguatkuasaan, sebaliknya turut memberi penekanan kepada kesedaran, tanggungjawab pemilik kenderaan serta koordinasi antara agensi berkaitan dalam menangani isu berlarutan ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pembakaran terbuka musim panas dilarang, PBT diminta bertindak – Exco