IPOH – Hab perindustrian bersepadu baharu, KLK TechPark, di kawasan seluas 607 hektar di Tanjung Malim dijangka akan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Fasa pertama pembangunan melibatkan pembukaan kilang pemasangan kenderaan oleh syarikat kenderaan elektrik (EV) global, BYD Company Limited (BYD) yang merangkumi kawasan seluas 60.7 hektar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, taman perindustrian yang dibangunkan anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), KLK Land itu dilihat menyokong kepada aspirasi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim.
Katanya, malah kehadiran syarikat antarabangsa BYD bersama kilang syarikat tempatan, Proton Holdings Bhd (PROTON) juga akan merancakkan lagi pembangunan industri EV tempatan.
“Dengan adanya dua syarikat berkenaan, ditambah dengan rancangan penubuhan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai akan menjadi pelengkap kepada industri automotif.
“Selepas ini, kita yakin perkembangan ini akan memberi impak positif dan menggamit kehadiran lebih ramai pelabur berkaitan dengan industri automotif untuk melabur di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian KLK TechPark @ Tanjong Malim di Wisma Taiko, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Menteri Sains dan Teknologi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian.
Dalam pada itu Saarani berkata, isu tanah merupakan faktor paling utama dalam menentukan kelancaran sesuatu projek pelaburan dan pembangunan industri mega.
Kata beliau, namun projek projek KLK TechPark tidak berdepan dengan sebarang halangan kerana dibangunkan di atas tanah milik KLK sendiri.
“Kerajaan negeri hanya bertindak sebagai ‘fasilitator’ atau pemudah cara untuk mempercepatkan proses kelulusan tanah. KLK sebagai pemilik tanah mahu cepat, kerajaan negeri juga mahu cepat (projek ini dibangunkan),” jelas beliau.
Mengulas lanjut Saarani memberitahu, sebagai projek perindustrian berstatus nasional, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai tinggi, merancakkan pertumbuhan serta mengukuhkan peranan negeri dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
“KLK TechPark bersama pelaburan BYD merupakan langkah awal ke arah merealisasikan visi ini serta mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap potensi Tanjong Malim,” kata beliau.
Sementara itu Oi Hian berkata, pembangunan KLK TechPark yang berhampiran dengan AHTV, Lebuhraya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan itu turut dijangka akan menjana sehingga 20,000 peluang pekerjaan.
“Selain taman industri, ia juga akan melibatkan projek kawasan kediaman seluas 81 hektar yang akan dibangunkan secara berfasa bermula pada tahun ini sehingga 2035.
“Kerja-kerja infrastruktur utama pelabur BYD disasarkan siap pada akhir tahun 2026. Manakala fasa kedua yang bakal dilancarkan menjelang akhir 2025 akan menampilkan taman vendor seluas 200 ekar khusus untuk pemain sektor automotif dan pembuatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Syarikat kenderaan elektrik dari China bakal buka kilang di AHTV