IPOH – Perak berharap Kerajaan Persekutuan akan membantu memudah cara perolehan tanah milik Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Sungkai bagi penubuhan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu juga telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kehadiran beliau ke Pelancaran kilang kereta elektrik (EV) PROTON di Tanjung Malim awal bulan lalu.
“Tanah yang dimaksudkan bukan milik kerajaan negeri sebaliknya ia kepunyaan Kerajaan Persekutuan atas nama MINDEF.
“Dan baru-baru ini saya dah bisik (sampaikan) kepada Perdana Menteri supaya beliau dapat membantu agar ada satu persetujuan dapat dicapai antara kementerian itu dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) agar tanah itu dapat dipindahkan (ditukar ganti),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian KLK TechPark @ Tanjong Malim di Wisma Taiko, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Menteri Sains dan Teknologi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian.’
Saarani berkata, kerajaan negeri sedang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan pembinaan NATC kerana ia dilihat mampu menjadi pelengkap kepada pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim.
Kata Saarani, malah beliau juga semenangnya berhasrat untuk menjadikan kawasan di Selatan Perak yang merangkumi Sungkai dan Tanjung Malim agar menjadi hab automotif negeri.
“Jika pembangunan NATC dapat dijayakan, ia akan menggamit kehadiran lebih ramai pelabur dalam perindustrian automotif untuk melabur di Perak,” jelas beliau.
Ketika misi pelaburan di Eropah pada Mei lalu, Perak berjaya membawa pulang pelaburan berjumlah RM450 juta yang melibatkan pelbagai industri.
Antaranya dalam bidang automotif susulan deligasi kerajaan negeri yang diketuai Saarani mengadakan lawatan dan pertemuan bersama Horiba MIRA di Leicester United Kingdom, sebuah syarikat terkemuka dalam bidang penyelidikan dan pengujian teknologi automotif.
Saarani dilaporkan berkata, pertemuan tersebut membuka jalan ke arah kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menubuhkan NATC di Sungkai dengan kerjasama AHTV dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). – MG Perak
Artikel Berkaitan: