KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal (PPK) di empat negeri mencatatkan peningkatan pagi ini.
Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 PPS dan satu PPK di Beaufort setakat 8 pagi.
Kenyataan JPBN memaklumkan tiga daripada lima daerah yang terjejas menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa di PPS iaitu Beaufort, Penampang dan Putatan manakala Membakut serta Papar kekal.
“Dua PPS di Penampang menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh iaitu Dewan Inobong dan Kampung Sarapung,” menurut kenyataan itu.
Bencana tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas telah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak setakat ini dengan 11 kematian semalam dan satu kematian pada hari pertama kejadian.
Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 397 orang daripada 91 keluarga pagi ini berbanding 194 orang daripada 48 keluarga malam tadi di Daerah Muallim.
Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Kampung Orang Asli Sungai Lembing Behrang Stesen, Dewan Serbaguna Kampung Pauh dan Sekolah Kebangsaan Kuala Slim.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Slim di Slim River melepasi tahap bahaya dengan ketinggian 26.02 meter berbanding paras normal iaitu 23.5 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula memaklumkan beberapa daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kinta, Hulu Perak, Kuala Kangsar serta Batang Padang dijangka mengalami ribut dan hujan pada sebelah pagi, petang hingga ke malam.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada 146 orang daripada 44 keluarga pagi ini berbanding 33 mangsa malam tadi, dengan tiga PPS dibuka.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di Hulu Langat manakala dua lagi di Hulu Selangor iaitu Dewan Orang Ramai Hulu Bernam dan Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisik.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata 74 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Jimah Lama, Port Dickson setakat pagi ini berbanding 50 orang daripada 13 keluarga semalam.
“Semalam, mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Jimah Lama tetapi apabila kapasiti melebihi 50 orang, kita tukar kepada PPS yang lebih besar.
“Pertambahan mangsa adalah kerana air masih bertakung di kawasan rumah mereka yang berdekatan dengan sungai… cuaca hari ini baik dan PPS dijangka ditutup hari ini,” katanya.
— BERNAMA