IPOH– Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda apabila ia dilihat mampu membuka peluang kerjaya luas termasuk bidang fesyen.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi Rumah Tangga) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Noorsyamimie Zulkifli, 27, berkata, TVET dianggap asas kemahiran penting yang boleh membantu mencungkil potensi sebenar individu.
“Kelebihan saya adalah dalam bidang fesyen namun pada masa yang sama, kursus yang saya belajar turut meliputi bidang masakan, jahitan serta solekan.
“Sebenarnya skop TVET sangat luas bergantung kepada kemahiran seseorang mengikut bidang masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.
Katanya, TVET turut memberi ruang kepada anak muda yang kurang berminat dengan akademik untuk mengasah bakat mereka ke arah kerjaya yang mampu menjamin masa hadapan.
“Saya rasa TVET sangat membantu kerana terdapat anak muda pada zaman ini tidak berminat untuk belajar tetapi mereka boleh mengasah bakat yang ada untuk ke peringkat yang lebih jauh,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun UPSI memfokuskan bidang pendidikan tetapi melalui kursus fesyen yang dipelajar dapat membantunya menjana pendapatan tambahan.
“Maksudnya, saya boleh buka kedai menjahit dan menjalankan perniagaan untuk menambah pendapatan setiap bulan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kolej Komuniti Batu Gajah, Wan Hussaini Wan Adnan, 27, yang meminati fesyen sejak di bangku sekolah turut melihat TVET sebagai landasan terbaik untuk berdikari dalam dunia fesyen.
“Saya mula meminati fesyen sejak sekolah menengah dan suka melihat artis yang memperagakan baju dengan pelbagai gaya.
“Bagi perancangan masa hadapan, saya boleh menjalankan perniagaa sendiri tanpa perlu kerja dengan orang.
“Buat masa sekarang saya masih menjalani latihan amali dan mungkin selepas tamat pengajian saya akan memulakan bisnes jahitan,” jelasnya yang mempunyai kemahiran dalam menjahit pakaian wanita.
Noorsyamimie dan Wan Hussaini adalah antara 15 peserta yang menyertai pertandingan rekaan fesyen Draping Pereka Muda sempena KAMU 2025 yang diadakan pada Sabtu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KAMU 2025 platform usahawan belia tambah rezeki, raih pengalaman