IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan terus mempergiat usaha menarik minat golongan muda untuk menjadikan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama selepas menamatkan alam persekolahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bermula tahun hadapan pihak swasta termasuk syarikat kenderaan elektrik (EV) global, BYD Company Limited (BYD) dan Proton Holdings Bhd (PROTON) akan turut serta dalam siri jelajah kempen TVET di negeri ini.
“Biar pihak BYD dan PROTON sendiri memberi penerangan mengenai ruang serta peluang pekerjaan yang boleh direbut anak muda dalam bidang TVET.
“Selain itu, kita juga akan bawa pihak daripada Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) untuk turut terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Ahad.
Antara turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Pengarah KAMU 2025 merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin.
Menurut Saarani, usaha itu penting bagi memastikan anak muda dan ibu bapa di negeri ini memperoleh maklumat tepat tentang TVET daripada penggiat industri sendiri.
“Kita tidak mahu segala kekosongan jawatan yang wujud menerusi projek pembangunan sedang dan akan kita laksanakan diisi oleh orang luar sehingga akhirnya saya pula dipersalahkan.
“Sebaliknya, dengan adanya siri kempen ini, saya mahu lebih ramai anak muda menyertai TVET dan apabila industri ini beroperasi, peluang pekerjaan dapat dipenuhi oleh anak Perak sendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, negeri ini menyediakan pelbagai institusi dan laluan TVET, malah kajian menunjukkan lebih 90 peratus pemegang sijil TVET mempunyai peluang cerah untuk memperoleh pekerjaan.
Saarani berkata, penganjuran KAMU edisi keempat yang mengangkat tema ‘Meraikan bakat muda Perak’ juga menjadikan TVET sebagai tumpuan utama.
KAMU 2025 dianjurkan bersama People of Remarkable Talents (PORT), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak (EHEYNS Perak), Jabatan Belia dan Sukan Negeri, StratComm Perak serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TVET lonjakkan industri kulinari, tawar peluang kerjaya yang luas