Perak komited hapus persepsi TVET sebagai pilihan kedua

PARIT – Kerajaan Negeri Perak bertekad menoktahkan persepsi bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah pilihan kedua sebaliknya menjadikannya sebagai pilihan utama pelajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hasrat itu dizahirkan melalui penganjuran Karnival TVET IKBN Seri Iskandar anjuran Pejabat Daerah Perak Tengah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar sekolah menengah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, usaha itu seiring dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menetapkan daerah Perak Tengah sebagai salah satu pemangkin dan peneraju utama koridor TVET negeri.

“Dalam agenda Pelan Perak Sejahtera 2030, salah satu agenda adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai koridor TVET dan daerah Perak Tengah telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjadi pemangkin dan peneraju utama ke arah bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnaan majlis perasmian Karnival TVET Perak Tengah 2025 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini, pada Khamis.

Perak komited hapus persepsi TVET sebagai pilihan kedua
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bergambar pada majlis perasmian Karnival TVET Perak Tengah 2025 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 SEPTEMBER 2025.

Khairudin berkata, karnival tersebut adalah penganjuran kali kedua selepas program sama diadakan di Kolej Vokasional Seri Iskandar pada tahun lalu.

Tambahnya, penganjuran karnival itu turut menjadi titik tolak penting bagi mengangkat TVET sebagai teraju utama industri di Perak.

“Program tersebut mendapat sambutan yang amat baik dengan melibatkan 16 buah sekolah dalam daerah Perak Tengah yang telah menghantar peserta menyertai program inovasi yang telah dilaksanakan pada hari ini.

“Secara tidak langsung pelajar yang terlibat dalam karnival ini diberi pendedahan dan informasi yang penting berkaitan dengan laluan kerjaya, kisah kejayaan daripada alumni TVET yang mungkin menjadi daya penarik kepada mereka untuk menyertai kursus teknikal dan vokasional selepas selesai sesi persekolahan tingkatan lima.

“Dengan ada kemahiran dan teknikal yang cukup baik, pelajar-pelajar ini akan mendapat ruang dan peluang meningkatkan kemahiran serta mendapat jawatan dan pekerjaan yang bersesuaian di samping berjaya memperolehi pendapatan lumayan pada masa hadapan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

TVET jadi pilihan anak muda, fesyen antara bidang tarikan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI