PARIT: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk mencabul kehormatan dan mencederakan mangsa wanita di kebun kelapa sawit, dua minggu lalu.
Tertuduh, Karisa Karim, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita Orang Asli berusia 21 tahun dengan niat mencabul kehormatan mangsa.
Anggota polis berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di kebun kelapa sawit berhampiran Kampung Asli Chenderong Kelubi, Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah pada pukul 3.10 pagi, 21 September 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan mengaibkan kehormatan wanita itu dengan merakam gambarnya dalam keadaan tidak berseluar dengan menggunakan telefon bimbit di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Manakala bagi pertuduhan mengaibkan kehormatan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jeyamaran Sandanasamy.
Wan Mohd. Ameerul kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan namun Jeyamaran memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap lelaki itu.
Menurut Jeyamaran, tertuduh yang masih bujang itu bekerja sebagai anggota polis dengan pangkat lans koperal dan memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 selain menjaga ibunya yang sakit.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. -MG Perak