KERAJAAN Perak melalui agenda koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia sentiasa memberi tumpuan untuk menjadikan bidang berkenaan bukan hanya sekadar latihan kemahiran teknikal.
Ia selari dengan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjadikan TVET sebagai inisiatif bersepadu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berdisiplin dan mampu mengisi keperluan industri.
Bagi memastikan tiada yang terpinggir termasuklah anak-anak tahfiz di Perak, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak mengambil inisatif memperkenalkan Program Empower Tahfiz yang meliputi peluang pendidikan bagi anak-anak tahfiz dan pendidikan aliran agama di negeri ini.
Ini kerana setiap anak di negeri ini mempunyai peluang memperoleh akses Pendidikan yang baik bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.
Justeru itu, inisiatif Empower Tahfiz ini dilihat sebagai aspirasi bersama untuk memastikan pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 benar-benar inklusif, yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa ada yang terpinggir.
Empower Tahfiz ini juga merupakan satu inisiatif melibatkan pelbagai program-program lain dalam usaha memastikan anak-anak tahfiz bukan sahaja cemerlang dalam hafazan dan akademik, tetapi turut memiliki bakat serta kemahiran yang boleh
Menurut Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan pelbagai program telah dilaksanakan di bawah jenama Empower Tahfiz termasuklah Bengkel Khat dan Kaligrafi Islam, yang memberi ruang kepada pelajar-pelajar tahfiz untuk menggilap bakat seni penulisan ayat-ayat Al-Quran.
Beliau berkata, program tersebut telah dilaksanakan sebanyak enam siri dan impak yang diharapkan ialah agar Kemahiran Penulisan Khat dan Kaligrafi ini mampu berkembang menjadi salah satu peluang penjanaan ekonomi bagi anak-anak tahfiz dan juga pusat-pusat tahfiz di masa hadapan.
Sebagai usaha memperhebatkan lagi penglibatan anak-anak tahfiz di dalam bidang TVET Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan Program Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah sebagai pilihan alternatif kepada anak-anak tahfiz.
Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah ini adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan di Perak dan ia membuka jalan baharu agar anak-anak tahfiz bukan sahaja dikenali kerana kecemerlangan hafazan, tetapi juga mampu menjejak langkah ke dunia kerjaya profesional.
Dengan tempoh pengajian selama dua tahun empat bulan, pelajar akan dibimbing melalui kurikulum yang lengkap, merangkumi teori, latihan praktikal serta pengalaman industri.
Malah, para pelajar juga akan mengikuti bengkel intensif selama 20 hari di Tanah Suci, dengan kos ditanggung sepenuhnya, agar benar-benar mendapat pendedahan di lapangan sebenar.
Saarani dalam ucapannya semasa perasmian program berkenaan berkata, Program Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah diwujudkan untuk memartabatkan industri pelancongan Islamik.
Menurut beliau, ia menyediakan tenaga mahir dengan perkhidmatan berkualiti, pengurusan jemaah umrah dan ziarah yang lebih efisien, memenuhi syariat serta mesra dan profesional.
“Pendekatan ini seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, di mana TVET menjadi agenda penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, memperkukuh daya saing dalam pasaran domestik mahupun antarabangsa, dan pada masa sama mengangkat taraf sosioekonomi rakyat.
“Dalam konteks ini, kita melihat potensi besar anak-anak tahfiz. Hari ini di Malaysia terdapat lebih 150,000 pelajar tahfiz, termasuk sekitar 15,000 di Negeri Perak. Di tangan merekalah terletak mukjizat al-Quran yang dipelihara dari generasi ke generasi.
“Namun kita juga sedar, jalan yang mereka lalui bukan mudah. Ramai ibu bapa sanggup berkorban harta dan tenaga, ada yang bekerja siang malam, ada yang menjual tanah atau barang kemas semata-mata mahu melihat anak-anak menghafaz al-Quran. Pengorbanan inilah yang menguatkan tekad kita untuk memikul amanah menyediakan masa depan yang lebih cerah buat mereka,” katanya.
Tambah beliau, program diploma ini menjadi permulaan integrasi baharu di mana anak-anak huffaz bukan sahaja menghafaz kalamullah, tetapi juga diperlengkapkan dengan kemahiran moden, khususnya dalam bidang pelancongan Islamik yang sedang berkembang pesat.
“Dengan pelancaran ini, Perak berpotensi muncul sebagai model nasional dalam integrasi tahfiz dan TVET. Kita mahu membuktikan bahawa pendidikan Islam tidak pernah menjadi penghalang untuk maju dalam dunia moden.
“Malah, ia boleh digabungkan dengan kemahiran teknikal bagi melahirkan modal insan holistik – berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing.
“Hari ini kita mulakan dengan Diploma TVET Mutawwif. Esok, kita mungkin akan melihat bidang lain seperti kulinari, seni khat, teknologi maklumat dan keusahawanan yang digabungkan dengan pendidikan tahfiz. Dari sinilah lahirnya generasi baharu yang lebih kreatif, lebih versatil dan lebih berdaya juang,” katanya.
Artikel Berkaitan:
Perak pertama perkenal Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah untuk pelajar tahfiz