Banjir Perak: Jangan tunggu saat akhir untuk berpindah – Exco

IPOH – Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diminta supaya berpindah dengan segera dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berbuat demikian.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi penyelamat telah bersiap siaga sepenuhnya di lapangan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah mangsa.

“Saya ingin menyeru semua penduduk di kawasan berisiko agar tidak menunggu saat akhir untuk berpindah.

“Keselamatan nyawa kita dan keluarga mesti diutamakan. Sekiranya diarahkan berpindah, segeralah ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan, JKM telah melakukan persiapan penting dan rapi bagi memastikan kebajikan semua mangsa terjaga sepanjang tempoh banjir.

“JKM akan menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan selesa dan menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas bagi setiap mangsa.

“Selain itu, mereka akan memberi sokongan psikososial kepada keluarga yang terkesan; serta akan menyelaras sumbangan dan sukarelawan agar bantuan sampai kepada semua mangsa dengan teratur,” jelasnya.

Dalam pada itu, Salbiah turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan setiap keperluan rakyat yang terkesan akan dijaga dengan sebaiknya.

“Kita juga turut mengalu-alukan penyertaan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), pertubuhan atau individu yang ingin menyalurkan bantuan supaya berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing bagi tujuan penyelarasan bantuan.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

Setakat jam 8.00 pagi tadi, sebanyak 2,171 mangsa daripada 759 keluarga ditempatkan di 22 PPS di Daerah Larut Matang dan Selama serta Manjung. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,171

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI