IPOH – Keputusan sampel air dari hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, yang didakwa bertukar kebiruan dan disyaki tercemar dijangka diketahui Isnin ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pihaknya telah mengarahkan beberapa agensi berkaitan menjalankan siasatan dan pengambilan sampel bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Menurutnya, antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Berhubung isu pencemaran hulu Sungai Perak, siasatan masih dibuat. Saya akan kumpulkan keseluruhan keputusan-keputusan yang kita terima (daripada agensi berkaitan).
“Saya berharap Isnin satu laporan yang menyeluruh mengenai perkara ini akan dimaklumkan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan acara penanaman anak pokok hutan hujan sempena program Green Tech Perak 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini pada Sabtu.
Ditanya sama ada kejadian itu pernah berlaku sebelum ini, Teh menjelaskan bahawa laporan tersebut adalah yang pertama diterimanya di lokasi berkenaan.
“Bagi saya, ini kali pertama saya terima laporan itu,” ujarnya.
Tambahnya, laporan daripada Jabatan Kimia mengenai keputusan analisis sampel untuk mengetahui punca tersebut juga dijangka diketahui pada Isnin.
Terdahulu, Pengarah JAS Perak, Datuk Ts Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dilaporkan berkata, sampel air sungai di lokasi terbabit sudah dihantar ke makmal Jabatan Kimia Malaysia pada petang semalam untuk dianalisis.
Menurutnya, hasil analisis makmal dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu bergantung kepada Jabatan Kimia Malaysia.
Katanya, perubahan warna air sungai adalah satu indikasi berlakunya kemasukan bahan pencemar ke dalam air sungai, namun jenis dan tahap pencemaran hanya akan diketahui selepas laporan analisis kimia diperoleh.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak dekat Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi kebiruan seperti air laut.
Perubahan warna itu disyaki berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui, yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Punca Sungai Perak kebiruan diketahui selepas sampel dianalisis


