Pemandu e-hailing terima kuota tambahan BUDI95 kepada 800 liter – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar kuota tambahan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing sepenuh masa dari 600 kepada 800 liter sebulan berkuat kuasa November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu berkata, tambahan kuota itu melibatkan 58,000 pemandu e-hailing yang layak dengan jumlah perjalanan sehingga 5,000 kilometer (km) sebulan.

“Untuk Oktober, kerajaan telah menyediakan kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing aktif dengan menaikkan dari 300 liter kepada 600 liter, berapa ramai yang dapat iaitu 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.

“Ada rakan-rakan e-hailing yang merasakan masih belum cukup, jadi kita sekarang mengkaji, kalau betul ada rekod dan keperluan maka kerajaan saya nak umumkan di sini.

“Kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak sehingga 800 liter sebulan, maknanya 5,000 km tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid meminta Perdana Menteri menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 dan isu berbangkit terutamanya golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan telah mengumumkan kenaikan had siling kelayakan bulanan BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan dan memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing.

Anwar berkata, kerajaan juga telah meluaskan kelayakan BUDI95 kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen memandu yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Setakat 31 Oktober 2025, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima BUDI95.

Selain itu, beliau berkata, pemandu teksi lapangan terbang juga menerima manfaat sama yang sebelum ini tidak tersenarai dalam penerima petrol RON95 bersubsidi.

“Kerajaan juga turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS),” katanya.

Mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai isteri warga asing yang tidak layak menerima manfaat di bawah program BUDI95, Anwar berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan perkara tersebut.

“Ada juga yang membangkitkan OKU (Kota Melaka) yang isterinya orang asing, kes itu sudah diselesaikan, kes itu masih ada ruang untuk membuat permohonan kerana kes-kes itu tidak ramai.

“Tetapi kita berikan pertimbangan kerana MADANI ini dia ada ihsan dan kemanusiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI