Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah

IPOH – Sekali pandang, hidangan nasi lemak, ais kacang dan kuih-muih yang dipamerkan kelihatan enak seperti makanan sebenar, namun, siapa sangka, semua itu hanyalah replika makanan yang dihasilkan daripada adunan doh tepung jagung.

Hasil seni kreatif ini bukan sahaja menampilkan kehalusan dan realisme yang menakjubkan, malah menjadi sumber rezeki bagi penggiat kraf tangan tempatan, Rifasyariah Abdul Rashid, 51, anak jati Chenderong Balai, Teluk Intan.

KKM, Muzium Pulau Pinang antara pelanggan

Bernaung di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, beliau mula aktif dalam bidang ini sejak tiga tahun lalu dan kini menjadi antara penggiat utama kraf tangan di Perak.

Menurutnya, seni kraf tangan tersebut masih kurang di Malaysia dan sebab itu Rifasyariah mengambil pendekatan serius dalam bidang berkenaan.

Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah
Sebahagian replika makanan yang dihasilkan Rifasyariah Abdul Rashid dipamerkan di Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, Ipoh pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2025.

“Mereka yang menceburi bidang penghasilan kraf tangan ‘clay’ tepung jagung di Malaysia masih lagi kurang dan majoriti dipelopori bangsa lain.

“Oleh itu, saya ambil pendekatan untuk serius dalam bidang ini kerana ia mendapat permintaan yang tinggi, terutama daripada jabatan dan kafe-kafe yang memerlukan untuk tujuan promosi.

“Kebanyakan tender saya datang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahun depan akan masuk ke muzium. Buat masa ini, saya juga hasilkan tempahan untuk Muzium Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, di sini pada Sabtu.

Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah
Rifasyariah Abdul Rashid ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, Ipoh pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2025.

Hasilkan replika nasi lemak sehingga empat hari

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan replika makanan bersaiz sebenar itu tercetus selepas melihat hasil tangan dari luar negara yang banyak membuat cenderahati kecil menggunakan adunan doh tersebut.

“Hasil seni ini sebenarnya berasal dari luar negara seperti Jepun, Thailand dan China, namun kini mula mendapat tempat di Malaysia.

“Saya terfikir, apa kata kalau kita pula buat replika makanan bersaiz sebenar. Walaupun agak rumit, tapi ia mendapat permintaan yang tinggi.

“Sekarang kafe-kafe banyak menu untuk menarik perhatian pelanggan. Macam saya ‘orang tua‘, hendak tengok menu pun tidak nampak, jadi bila nampak replika yang menarik, terus rasa nak cuba,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah
Rifasyariah Abdul Rashid menunjukkan produk kraf tangan lain yang dihasilkannya di Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, Ipoh pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2025.

Dalam pada itu, Rifasyariah menjelaskan setiap produk yang dihasilkan mengambil masa antara tiga hingga empat hari bergantung kepada tahap kerumitan.

Tambahnya, pembuatan kos pembuatan untuk membuat satu-satu replika tidak mahal namun memerlukan kreativiti dan ketelitian.

“Contohnya nasi, kita akan gentel setiap butir, satu-satu. Sepinggan nasi lemak ambil masa tiga atau empat hari sebab ada tempoh menguli, kering, mewarna mengikut perincian yang dikehendaki pelanggan,” jelasnya.

Buka bengkel kepada yang berminat

Sebelum menceburi bidang pembuatan replika makanan ini, Rifasyariah adalah pengusaha sulaman tangan di bawah Kraftangan Perak tetapi disebabkan faktor usia beliau beralih arah kepada kraf yang lebih praktikal dan berpotensi.

“Saya cari sesuatu yang jarang orang buat tapi boleh beri pendapatan lumayan. Jadi, saya hasilkan ‘clay’ daripada tepung jagung kerana ia boleh dibuat sendiri,” katanya yang memulakan pembuatan seni itu menggunakan modal sendiri.

Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah
Kanak-kanak menunjukkan kreativiti mereka menerusi penghasilan replika kek cawan di reruai Rifasyariah Abdul Rashid i Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, Ipoh pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2025.

Walaupun permulaan perjalanannya sukar kerana kurang mendapat perhatian, Rifasyariah semakin dikenali selepas menjadi residen artis di bawah Galeri Signature Art, Simpang Pulai.

Pada masa yang sama, beliau turut mengadakan bengkel bagi orang ramai yang berminat untuk mempelajari hasil seni kraf tangan ini.

“Daripada kelas itu, selain belajar,  mereka boleh menjadikannya sumber pendapatan. Tidak semua orang nak berniaga makanan. Kita buat sesuatu yang lain,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Rifasyariah turut menasihati mereka yang ingin menceburi bidang ini supaya berani mencuba dan tidak malu mempromosikan hasil kerja sendiri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelan pengurusan Geopark Lembah Kinta dijangka siap tahun hadapan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI