Tiada sekolah KAFA Perak ditutup, hanya tangguh operasi

IPOH – Tiada mana-mana Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri Perak yang ditutup operasinya dalam tempoh lima tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya terdapat 16 sekolah terbabit yang ditangguhkan operasi di lima daerah iaitu Larut, Matang dan Selama; Kerian; Hilir Perak; Perak Tengah serta Kuala Kangsar.

Jelasnya, faktor penangguhan itu adalah disebabkan jumlah murid yang kurang sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.

“Berdasarkan nisbah guru KAFA terhadap jumlah murid yang telah ditetapkan oleh JAKIM adalah seorang guru bagi nisbah 30 orang murid.

“Selain itu, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 juga turut menetapkan jumlah murid yang perlu ada bagi sesebuah sekolah itu boleh beroperasi adalah tidak kurang daripada 20 orang murid.

“Lanjutan penangguhan operasi tersebut, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) telah melaksanakan penggabungan sekolah yang mengalami kekurangan murid bagi memastikan kelancaran perjalanan kelas KAFA dan kebajikan murid tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Tiada sekolah KAFA Perak ditutup sekolah KAFA Perak, penangguhan operasi KAFA, kekurangan murid KAFA, kuota guru KAFA Perak, JAIPk Perak, Saarani Mohamad
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 NOVEMBER 2025.

Menurut Saarani (BN-Kota Tampan), bagi menangani masalah kekurangan guru pula, JAKIM telah memberikan kuota guru KAFA tambahan seramai 100 orang kepada negeri Perak mulai tahun ini.

Kata beliau, usaha itu telah menjadikan jumlah kuota guru SRAR KAFA di negeri Perak meningkat kepada 3,310 orang guru.

“Walau bagaimanapun, kekurangan guru masih berlaku disebabkan status jawatan guru KAFA adalah berstatus sambilan.

“Guru-guru yang mendapat jawatan yang lebih baik telah meletakkan jawatan sebagai guru KAFA dan menjadi antara penyumbang kepada kekurangan guru di sekolah-sekolah KAFA.

Ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Faisal dan Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting), Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia menerima cadangan untuk menambah baik kaedah pengoperasian SRAR KAFA.

“Saya menerima baik cadangan supaya kerajaan negeri membuat kajian bagaimana kita dapat menambah baik sistem tersebut dan juga bagaimana kita dapat mengikat minat guru-guru KAFA ini untuk terus kekal bertugas,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan:

Perak umum guru KAFA, takmir terima BKK Aidilfitri RM500

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI