IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM75.98 juta menerusi Belanjawan Perak 2026 di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut Jabatan Perhutanan Negeri Perak menerima peruntukan belanja mengurus bernilai RM48.4 juta.
Katanya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan meliputi RM8 juta bagi projek Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT), RM1.3 juta bagi pengurusan hutan dan RM700,000 bagi infrastruktur bangunan.
“Selain daripada itu Perbadanan Taman Negeri Perak diperuntukkan RM6.5 juta bagi tujuan operasi dan pelaksanaan program-program konservasi seperti Global Tiger Day serta RM6 juta bagi pelaksanaan projek-projek EFT.
“Untuk pembangunan dan penyelenggaraan Geopark Negeri, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.2 juta EFT berkaitan Geopark Lenggong; Majlis Daerah Lenggong untuk operasi World Heritage Office Lenggong (RM500,000); dan program Geopark Lenggong (RM200,000),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Tambah Saarani, bagi memantau dan menyelaras program dan projek berkaitan Kelestarian Alam Sekitar, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1 juta EFT bagi program di bawah Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Selain itu, turut diperuntukkan RM700,000 untuk pelbagai Program Perak Lestari dan Teknologi Hijau, Sekretariat Kelestarian Alam Perak (RM700,000) serta Penyelenggaraan Tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar (RM780,000).
“Pembangunan yang mampan tidak boleh hanya berasaskan keuntungan ekonomi semata-mata.
“Ia haruslah seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi menjamin kualiti hidup rakyat hari ini dan generasi akan datang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


