IPOH – Perak merekodkan sebanyak 193 kes kecurian kabel dan 515 kes penutup lurang Telekom Malaysia (TM) terbuka setakat Oktober lalu.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kerajaan negeri cakna tentang isu berkenaan dan telah mengambil tindakan lanjut bersama pihak TM.
Katanya, antara usaha yang diambil adalah mematri serta pemasangan lapisan kedua bagi penutup lurang yang terbuka.
“Tujuan inisiatif ini adalah untuk menutup penutup lurang bagi menghalang atau menyukarkan akses kepada pencuri dan pihak yang tidak bertangungjawab.
“Sehingga kini sebanyak 711 aktiviti memateri penutup lurang telah siap dan pihak TM akan meneruskan aktiviti berkenaan dengan mensasarkan kepada kawasan kerap berlaku kecurian kabel dan lurang terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Isnin.

Menurut Mohd Azlan, namun pihaknya juga mendapati ada sebahagian lurang yang dipateri telah dipecahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam cubaan mencuri kabel TM.
Jelas beliau, susulan itu Unit Keselamatan TM dan pihak polis sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan panas kecurian kabel serta memantau kawasan kritikal seperti laluan kabel, lurang dan kabinet untuk mengesan aktiviti mencurigakan dengan lebih awal.
Kata beliau lagi, pihak TM juga sedang giat melaksanakan aktiviti pengeluaran kabel ‘copper’ bawah tanah yang sudah tidak digunakan lagi secara berperingkat.
“Usaha itu sejajar dengan inisiatif Transformasi Rangkaian TM dalam menggunakan teknologi terkini termasuk menggunakan talian fiber sepenuhnya, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan kadar kerosakan talian.
“Sehingga kini TM Perak telah menjalankan aktiviti pengeluaran kabel bawah tanah sepanjang 1,107 kilometer (km),” katanya.
Tambah Mohd Azlan, tindakan memotong, mencuri atau mensabotaj kabel, tidak kira sama ada copper atau fiber adalah perbuatan jenayah yang mesti dipandang serius.
Kata beliau, ia bukan sahaja merosakkan harta benda awam malah menjejaskan kelangsungan ekonomi digital negeri, perniagaan setempat, pembelajaran pelajar dan urusan harian rakyat.
“Sebagai contoh, insiden yang berlaku di Kampar pada 27 November 2025 amat membimbangkan.
“Lurang TM telah diceroboh dan lapan kabel fiber telah dipotong, menyebabkan gangguan internet kepada lebih 4,000 pengguna serta menjejaskan operasi lapan pemancar rangkaian mudah alih,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan empat lelaki disyaki curi kabel


