IPOH – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak memohon maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa, susulan kekeliruan isu Program Pembangunan Kawasan (PPK) di Kampung Tawai, Gerik.
ADUN Kenering dari Perikatan Nasional (PN), Mohamad Husairi Arifin membuat permohonan itu selepas mengakui wujud kesalahan fakta berkenaan isu itu ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 baru-baru ini.
“Saya memohon maaf jikalau fakta yang saya sebut itu merupakan kesalahan dengan apa yang sebenarnya. Saya akur dengan apa jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah Sesi Penggulungan Perbahasan Belanjawan Perak 2026 oleh Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Sebelum membacakan teks penggulungan Saarani berucap bagi menjawab beberapa kekeliruan isu yang ditimbulkan beberapa ADUN pembangkang pada sesi perbahasan sebelum ini.
Saarani berkata, wujud kesalahan fakta yang diutarakan ADUN Kenering apabila wakil rakyat itu mendakwa berlaku pembatalan projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai selepas dibantah penduduk serta Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Jelas Saarani, sebaliknya projek yang dimaksudkan adalah PPK yang mana ia masih belum diluluskan kerana pejabat daerah tanah baru membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Memang betul ada bantahan orang Kampung Tawai sebab tempat itu sudah pun ada cadangan nak dibuat Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).
“Pihak pentadbiran daerah mengambil kira bantahan itu, maka ia hendak diubah ke tempat lain, dan ia bukan dibatalkan. Malah Ahli Parlimen (Lenggong) tidak membantah (projek itu) sama sekali,” katanya.
Menteri Besar Perak berkata, perkara itu hasil maklumat yang diterima beliau melalui pegawai daerah serta Ahli Parlimen Lenggong sendiri.
“Saya tidak tertarik untuk membuat usul penggantungan, cuna saya hendak mengingatkan kepada diri saya, rakan-rakan kerajaan dan pembangkang bahawa kita boleh berbeza pandangan serta mengkritik. Tetapi jangan berdusta, jangan salah fakta dan buat fitnah,” katanya.
Saarani turut mengingatkan semua ADUN menghormati persidangan DUN kerana ia merupakan dewan perundangan yang seharusnya bebas daripada sebarang kesalahan fakta atau fitnah.
“Dewan ini dikatakan dewan yang mulia, ini dewan perundangan. Maksudnya kita tidak boleh berbahas dengan menggunakan perkara-perkara yang tidak benar.
“Maknanya kita tidak boleh berhujah dengan menggunakan perkara-perkara di luar fakta sebenar. Ini Dewan Undangan Negeri, yang mana setiap keputusan yang kita buat, ia menjadi undang-undang,” katanya.
Saarani juga menegur dan menjelaskan persoalan dibangkitkan wakil rakyat pembangkang lain, iaitu Ahmad Man (PN-Kuala Sepetang), Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) serta Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol).
Beliau antaranya menyentuh tentang isu pelaburan negeri, peruntukan sekolah rendah agama rakyat serta laporan kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk). – MG Perak
Artikel Berkaitan:


