KUALA LUMPUR – Akar umbi DAP dilaporkan telah memberi mesej yang jelas dan tegas kepada pemimpin parti, iaitu mempercepatkan reformasi atau meninggalkan kerajaan.
China Press melaporkan, suara itu telah disampaikan dalam mesyuarat yang diadakan pada Selasa untuk mengkaji kekalahan teruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
Sumber berkata, beberapa pemimpin parti telah menyatakan bahawa mereka telah menerima maklum balas akar umbi yang berpendapat DAP harus meninggalkan Kerajaan Perpaduan jika pemerintah gagal mempercepatkan usaha reformasi dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, isu besar seperti meninggalkan kerajaan perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat.
Sumber yang juga pemimpin parti itu berkata, pucuk pimpinan menyedari keperluan untuk memulihkan keyakinan pengundi terhadap DAP kerana kekalahan Sabah boleh merebak ke pilihan raya di Melaka dan Johor.
“Ini merupakan satu cadangan (untuk meninggalkan kerajaan), kami perlu melihat perkembangan dan situasi untuk beberapa bulan akan datang,” katanya.
Seorang lagi sumber pula berkata, meninggalkan kerajaan merupakan salah satu cadangan yang dibangkitkan dalam mesyuarat.
“Suara lain adalah DAP perlu mempercepatkan rentak agenda reformasi dalam tempoh enam bulan, iaitu sehingga pertengahan tahun depan,” katanya.
Ditanya apakah agenda reformasi yang dimaksudkan, sumber berkata, perkara berkenaan akan disusun oleh pemimpin yang mengendalikan manifesto pilihan raya dan bakal dipersembahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. – Akhbar Cina


