UPSI unggul raih empat anugerah Global Education Award 2025

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukir nama di pentas global sebagai institusi pendidikan unggul apabila meraih empat anugerah utama pada Global Education Award 2025 di Hotel Amari, Bangkok, Thailand semalam.

Acara berprestij yang menghimpunkan pemimpin pendidikan, penggubal dasar dan pemain inovasi  dari seluruh Asia itu menjadi platform penting bagi meraikan kecemerlangan institusi dan tokoh pendidikan serantau.

Universiti tersebut menerima penghormatan tertinggi menerusi anugerah Excellence in Education, sekali gus menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan universiti itu dalam memacu pembangunan pendidikan berkualiti serta inovasi akademik.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang turut menerima anugerah Transformational Vice Chancellor berkata, kejayaan itu adalah satu isyarat jelas bahawa strategi pengantarabangsaan dan reformasi pendidikan yang dilaksanakan universiti berada pada landasan tepat.

“Pengiktirafan ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga UPSI yang sentiasa komited menjunjung nilai kecemerlangan dan memperkukuh agenda pendidikan negara. Anugerah ini bukan hanya milik individu, tetapi milik keseluruhan universiti.

“Kejayaan UPSI di pentas antarabangsa memberi keyakinan untuk kami terus memperluas rangkaian global serta meningkatkan kolaborasi strategik dengan rakan akademik dari Asia dan seluruh dunia,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, UPSI akan terus memperhebat kerjasama rentas negara, terutamanya dalam aspek penyelidikan, mobiliti pelajar, inovasi digital dan pembangunan akademik.

“Kerjasama itu perlu memandangkan dunia pendidikan bergerak pantas, dan UPSI perlu menjadi antara institusi yang memimpin perubahan itu.

“Justeru, pengiktirafan tersebut membuktikan kemampuan UPSI muncul sebagai universiti rujukan dalam bidang pendidikan, seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau,“ ujarnya.

Katanya, kejayaan itu membuktikan UPSI mampu  berdiri sama tinggi dengan institusi antarabangsa, dan memberi inspirasi kepada universiti tersebut untuk terus memperkenalkan inisiatif baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada UPSI tetapi juga kepada ekosistem pendidikan Asia.

Pada majlis itu, Profesor Madya Dr Ridzwan Che Rus, turut terpilih menerima anugerah Outstanding Contribution to Education atas sumbangan penting beliau dalam inovasi pedagogi, pembangunan pendidikan digital serta peranan aktif dalam kerjasama rentas negara.

Selain itu, Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Profesor Dr Mohd Izwan Shahril menerima pengiktirafan antarabangsa melalui anugerah Excellence in Sports Science & Technological Innovation bagi mengiktiraf sumbangan beliau memacu penyelidikan dan teknologi dalam bidang sains sukan.

Kejayaan UPSI meraih empat anugerah berprestij pada Global Education Award 2025 secara tidak langsung membuktikan kapasiti dan kepakarannya sebagai peneraju pendidikan serantau.

Pencapaian itu bukan sahaja mengangkat nama universiti di mata dunia, malah mengukuhkan peranannya dalam melahirkan pemimpin pendidikan masa depan yang berupaya memacu inovasi dan transformasi global. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI perkukuh relevansi DPLI selaras keperluan pendidikan semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI