IPOH – Kerajaan Negeri Perak menafikan dakwaan bahawa pembangunan menjadi punca kemunculan harimau berkeliaran di sekitar kawasan Bukit Bangkong Tanah Hitam, Chemor, dekat sini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, projek pembangunan yang dijalankan didapati tidak menceroboh kawasan habitat haiwan berkenaan.
Menurutnya, pada awal tahun ini pihaknya pernah menerima laporan mengenai aduan kesan tapak harimau berlegar-legar di kawasan yang sama.
“Kalau dari segi projek perumahan, ia tidak masuk sampai habitat harimau. Tapi, buat masa ini kita lihat populasi harimau makin bertambah.
“Jadi, haiwan ini memerlukan kawasan yang lebih luas untuk berkeliaran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Green Tech Perak 2025 bertemakan ESG Industrial Advantage yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Rabu.
Sebelum ini, terdapat desas desus netizen yang mendakwa haiwan karnivor itu muncul disebabkan habitatnya terjejas akibat pembangunan.
Terdahulu, media melaporkan kawasan rekreasi aktiviti mendaki popular itu ditutup sementara susulan dikesan terdapat kelibat harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang sejak Sabtu, minggu lalu.
Semalam, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah memasang perangkap serta kamera bagi mengesan dan menangkap seekor harimau belang yang dikesan berkeliaran di kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis perketat kawalan Bukit Bangkong susulan harimau belum ditemui


