KUALA LUMPUR – Polis hari ini merakam percakapan aktivis dan pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa menghina Institusi Diraja Johor di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 melibatkan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Setakat ini, polis telah menerima 284 laporan polis berkaitan isu itu dari seluruh negara
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang bersifat menghina institusi diraja mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di Facebook satu hantaran oleh Fahmi Reza yang dikatakan menyentuh Institusi Diraja Johor sebelum beberapa pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat di negeri itu membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
— BERNAMA


