Pemimpin DAP mahu Najib diberi pengampunan penuh

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin DAP, Ong Kian Ming tampil menyatakan sudah tiba masanya satu perbincangan serius dimulakan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak berdasarkan pertimbangan kemanusiaan dan kematangan politik.

Kian Ming yang juga mantan Ahli Parlimen Bangi berkata, Najib telah dihukum dan menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 justeru tiada sebab untuk mana-mana pihak ‘meraikan’ atau ‘menambah luka’ susulan keputusan mahkamah berkaitan titah Adendum semalam.

“Saya fikir sudah tiba masanya, mungkin pada tahun baharu 2026, untuk kita memulakan perbincangan serius mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap Najib,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Kata beliau, dirinya pada 2023 beliau pernah menyifatkan pengampunan penuh terhadap Najib sebagai satu ‘garis merah’ bagi DAP namun pendiriannya kini berubah selepas lebih dua tahun berlalu.

“Lebih dua tahun kemudian khususnya selepas pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, saya kini kurang pasti tentang ‘garis merah’ tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pelaksanaan Titah Addendum adalah selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana perintah itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan wajar dihormati sebagai keputusan undang-undang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan itu tidak seharusnya ‘diraikan’ secara terbuka kerana Najib telah menjalani hukuman penjara dan berdepan isu kesihatan yang berulang kali dibangkitkan oleh keluarganya.

Kian Ming turut menyuarakan kebimbangan tindakan meraikan keputusan mahkamah boleh memburukkan lagi perpecahan masyarakat khususnya dalam konteks politik perkauman dan keagamaan yang semakin ketara.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, perbincangan mengenai pengampunan penuh tidak bermaksud melupakan kesalahan lalu sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha ke arah pendamaian politik dan kematangan demokrasi.

Beliau berkata, dalam semangat Krismas, pendekatan kemaafan tanpa melupakan kesalahan lampau wajar dipertimbangkan demi matlamat perdamaian dan masa depan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI