Galeri Seni Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara

IPOH – Dalam arus yang serba moden ini, masih ada dalam kalangan masyarakat yang bersifat ‘skeptikal‘ terhadap banduan.

Namun di sebalik tembok penjara, mereka sebenarnya sedang melalui proses pemulihan dengan mempelajari pelbagai kemahiran dan menghasilkan produk berkualiti sebagai usaha membina semula kehidupan masing-masing pada masa hadapan.

Justeru, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menyediakan latihan vokasional dan industri sebagai persediaan kepada mereka yang kemudiannya diterjemahkan menerusi penghasilan pelbagai produk berkualiti tinggi merangkumi hasil kraf kayu, besi, perabot, fabrik, pastri serta tekstil eksklusif.

Produk-produk tersebut dipasarkan di Galeri Seni Warisan My Pride yang mengetengahkan hasil kreatif banduan di seluruh Malaysia.

Galeri Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara
Galeri Seni Warisan My Pride di Bazar Kandang Kuda Ipoh (Ipoh Stables Market), lokasi penjualan produk hasil tangan prospek penjara di Malaysia sebagai sebahagian usaha pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2026.

Hasil kemahiran banduan kini di Perak

Warga Perak boleh mendapatkan pelbagai jenis produk antaranya makanan sejuk beku, perabot kayu malah produk terkenal seperti Tenun Pahang Diraja turut dijual di galeri tersebut yang kini beroperasi di Bazar Kandang Kuda (Ipoh Stables Market), Jalan Raja Dihilir, di sini.

Pengurus galeri yang juga Ketua Inspektor Penjara di Pusat Koreksional Batu Gajah, V Annie berkata, premis tersebut menjadi galeri jualan rasmi produk JPM di Perak serta platform bagi memperkenalkan hasil tangan banduan kepada masyarakat umum.

“My Pride adalah singkatan kepada penjenamaan produk-produk Jabatan Penjara. Produk yang dipamer dan dijual di sini semuanya adalah hasil buatan banduan atau prospek yang sedang menjalani pemulihan di dalam penjara.

“Galeri ini menghimpunkan produk daripada pelbagai institusi penjara bukan sahaja di Perak, malah melibatkan penjara di Pahang, Kelantan, Kedah dan Selangor.

Galeri Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara
Produk kraftangan buatan prospek dari institusi penjara di Malaysia dipamer dan dijual kepada orang awam di Galeri Seni Warisan My Pride, Bazar Kandang Kuda Ipoh (Ipoh Stables Market). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2026.

“Kita gabungkan semua hasil daripada penjara-penjara luar Perak untuk dijual di sini,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.

Menurutnya, galeri berkenaan merupakan yang pertama di Perak selepas operasi terdahulu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng ditamatkan kira-kira lima tahun lalu.

Tenun Diraja Pahang antara produk eksklusif

Katanya, galeri tersebut menempatkan beberapa lot jualan merangkumi pastri dan snek, kraf tangan kayu dan besi, serta produk fabrik dengan harga yang amat berpatutan.

Tambahnya, produk fabrik adalah antara tarikan utama dengan penglibatan penjara-penjara yang terkenal dalam penghasilan tekstil warisan.

Galeri Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara
Produk Tenun Pahang Diraja hasil kerja prospek penjara dipamer dan dijual kepada orang awam di Galeri Seni Warisan My Pride, Bazar Kandang Kuda Ipoh, sebagai sebahagian program latihan kemahiran dan pemulihan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2026.

“Kita ada Tenun Pahang Diraja, tekat (benang emas) dari Penjara Tapah serta batik dari Pengkalan Chepa dan Penjara Wanita Kajang. Produk-produk ini memang eksklusif, malah ada kain yang bernilai sehingga RM6,000,” ujarnya.

Beliau berkata, galeri tersebut menempatkan produk dari lapan penjara dari seluruh negara iaitu Penjara Pokok Sena, Kedah; Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Tapah dan Pusat Koreksional Batu Gajah di Perak; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Kajang, Selangor.

“Dalam masa terdekat, kita akan tambah lebih banyak produk dan mempelbagaikan lagi pilihan kepada orang ramai,” jelasnya.

Galeri Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara
Pengurus Galeri Seni Warisan My Pride, V Annie ketika temubual bersama MG Perak di Bazar Kandang Kuda Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2026.

Latihan kemahiran salah satu proses pemulihan

Dalam pada itu, Annie turut menjelaskan bahawa latihan kemahiran yang diberikan kepada banduan adalah sebahagian daripada proses pemulihan jangka panjang.

“Kita beri pelbagai kemahiran seperti pastri, kayu, besi dan fabrik supaya apabila mereka bebas nanti, mereka boleh menjana pendapatan dengan cara yang betul dan tidak kembali ke jalan yang salah.

“Hasil jualan daripada galeri  ini akan dimasukkan ke dalam akaun amanah JPM yang akan digunakan untuk membangunkan program-program pemulihan dan latihan untuk banduan di dalam penjara.

Galeri Warisan My Pride angkat hasil tangan penghuni penjara
Muruku buatan prospek penjara di Malaysia antara produk makanan yang dijual kepada orang awam di Galeri Seni Warisan My Pride, Bazar Kandang Kuda Ipoh (Ipoh Stables Market). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2026.

“Sehubungan itu, kita berharap masyarakat akan datang menyokong produk JPM. Produk kami sangat berkualiti dan boleh dipercayai, di samping membantu memberi peluang kedua kepada mereka yang sedang menjalani pemulihan,” ujarnya.

Galeri My Pride beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan terbuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk serta operasi JPM. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ipoh Stables Market: Pasar kandang kuda pertama Asia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI