IPOH – Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dalam sebuah kereta di parkir sebuah pusat membeli-belah di Station 18, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri pada jam 12.53 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk penumpang sebuah kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di bahagian leher.
“Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HRPB Ipoh untuk proses bedah siasat.
“Hasil rakaman percakapan ahli keluarga mendapati mangsa berusia 57 tahun itu dipercayai mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu akibat pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya,” ujarnya.
Katanya, keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kesan kelar di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Pasir Puteh di talian 05-3212222 atau Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-2451500.
Artikel Berkaitan:


