Jangan label rumah ibadat sebagai ‘haram’

SHAH ALAM – Orang awam dan mana-mana pihak diminta tidak menggunakan istilah seperti ‘kuil haram’ atau ‘tokong haram’ ketika merujuk kepada tempat ibadat kerana ia bersifat menghukum dan tidak sensitif.

Selain itu, katanya, istilah berkenaan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, tempat ibadat bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya institusi yang mempunyai nilai keagamaan, sejarah dan makna mendalam kepada penganutnya.

“Penggunaan label berunsur negatif adalah tidak wajar, tidak menghormati sensitiviti agama dan boleh mencetuskan salah faham serta ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, dalam sebuah negeri berbilang kaum dan agama seperti Selangor, keharmonian sosial perlu dipelihara dan kenyataan tidak bertanggungjawab khususnya di media sosial hanya akan memburukkan keadaan serta merosakkan hubungan antara komuniti.

Menurutnya, sebarang isu berkaitan status atau pentadbiran tempat ibadat berada di bawah bidang kuasa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta agensi teknikal.

“Setiap perkara diteliti berdasarkan undang-undang, dasar semasa dan pertimbangan sosial setempat. Spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan mengelirukan bukan sahaja tidak membantu, malah menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan,” tegasnya lagi.

Papparaidu berkata, kebanyakan kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar sejarah yang panjang dan kompleks, termasuk faktor pembangunan setempat, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah, yang memerlukan penelitian menyeluruh dan pendekatan berasaskan dialog serta keadilan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan menyelesaikan perkara berkenaan secara berhemah, profesional dan berpandukan undang-undang, selain lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau perkongsian di media sosial.

“Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memelihara keharmonian antara kaum dan agama, selaras dengan prinsip Rukun Negara, khususnya ‘Kepercayaan kepada Tuhan’,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI