MITI laksana analisis kos-manfaat Perjanjian Perdagangan Malaysia – AS

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan analisis kos – manfaat terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang dimeterai bersama Amerika Syarikat tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membantu kementerian dalam melaksanakan analisis tersebut.

“Fokus khusus akan diberikan kepada impak perjanjian ini terhadap eksport negara ke Amerika Syarikat, yang bernilai RM233.1 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM98.7 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan, Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada kerajaan akan menjalankan analisis kos-manfaat terperinci terhadap perjanjian perdagangan itu sebelum meratifikasikannya serta agensi-agensi yang akan terlibat dalam analisis berkenaan.

Radzi turut bertanya sama ada kerajaan boleh merunding semula klausa-klausa dalam perjanjian tersebut dan apakah kesan yang mungkin timbul sekiranya perjanjian perdagangan itu dibatalkan.

Menurut Johari, analisis terperinci itu akan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan dan Malaysia masih belum menerima notis rasmi daripada Amerika Syarikat mengenai garis masa untuk memuktamadkan ratifikasi perjanjian perdagangan berkenaan.

“Oleh itu, kerajaan sedang meneliti ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara serta mengurangkan risiko terhadap aktiviti perdagangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI