IPOH – Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menganggap langkah Pas melancarkan jentera awal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai satu perkembangan positif.
Menurutnya, pelancaran jentera oleh Pas telah mencetuskan reaksi segera dalam kalangan jentera UMNO untuk bangkit dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“To me take it as positive. Saya tak ada masalah dengan itu. Cuma setakat ucapkan terima kasih kerana mereka (Pas) telah berjaya untuk membantu menggerakkan jentera UMNO bangkit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan UMNO Perak susulan tindakan PAS yang melancarkan jentera awal gerak kerja PRU16 di Maahad Tahfiz Al-Quraan Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI) Kampung Luat, Lenggong Ahad lalu.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.
Dalam pada itu, menyentuh berhubung dakwaan kekusutan dalaman Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dan Bersatu, Saarani menegaskan UMNO kekal dengan pendirian untuk membina dan memperkukuh kekuatan parti berasaskan keupayaan sendiri tanpa bergantung kepada kelemahan atau kekuatan pihak lain.
“Saya ingat parti UMNO khususnya dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengumumkan kita bina dan bangunkan kekuatan kita sendiri.

“Kita tak ambil tahu hal orang lain, dia lemah ke dia kuat tapi kalau kita menang, kita menang atas kekuatan kita sendiri.
“Jadi, arahan telah dikeluarkan supaya semua tempat semua kawasan perkuatkan dalaman parti.
“PN terpulang pada mereka tetapi di peringkat kita (UMNO), kita bangunkan dan perkukuhkan dalaman parti kita sendiri,” ujarnya.
Katanya, fokus utama UMNO ketika ini adalah memperkasakan struktur dalaman parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi sebarang cabaran politik pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UMNO tubuh Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa satukan orang Melayu – Zahid


