SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan perintah reman dua hari terhadap aktivis kempen membantah kuil yang tidak sah, Tamim Dahri dan tiga rakannya serta mengarahkan mereka dibebaskan serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Aidil Khalid menerusi hantaran di Facebook selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi.
“Alhamdulillah, setelah semakan dibuat, Mahkamah Tinggi membatalkan penahanan reman dua hari terhadap Tamim Dahri dan tiga sahabatnya yang diberikan oleh majistret pagi tadi. Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka dilepaskan serta merta. Takbir,” tulisnya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang membenarkan reman dua hari bermula dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah selepas merobohkan kuil di Taman Rawang Perdana awal pagi semalam.
Tamim bersama tiga individu lain ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 dan Seksyen 295.
Pihak pembelaan sebelum ini berhujah anak guam mereka telah memberi kerjasama penuh kepada polis serta menyerahkan diri secara sukarela, justeru reman tidak sepatutnya dikenakan.
Dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, kesemua mereka kini dibebaskan tanpa perlu menjalani tempoh tahanan seperti yang diperintahkan sebelum ini. – MalaysiaGazette


