NIBONG TEBAL – Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta mereka bertembung lori tanah berhampiran sebuah sekolah menengah di Simpang Ampat di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.45 petang.
“Kemalangan melibatkan kereta BMW dengan lori tanah yang tidak membawa sebarang muatan. Seorang mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi wanita tersepit pada bahagian belakang kenderaan cedera parah manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Low Hooi Meng, 53, manakala identiti seorang lagi wanita belum diketahui.
Operasi yang melibatkan pasukan Balai Bomba Penyelamat Sungai Bakap berjaya mengeluarkan mangsa pada 3.05 petang dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
— BERNAMA


