IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini, menerima kunjungan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melalui satu sesi lawatan bersepadu, pada Khamis.
Lawatan itu diadakan bertujuan untuk memperkukuh koordinasi pengurusan sumber manusia dan perkhidmatan pendidikan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tertua negara itu.

Menurut satu kenyataan, delegasi SPP itu diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Datuk Adzman Talib itu turut disertai barisan ahli suruhanjaya yang lain.
Katanya, selain membentangkan realiti operasi semasa menerusi sesi perbincangan strategik, lawatan turut membabitkan sesi meninjau fasiliti pembelajaran berteknologi tinggi di PUO.
Antara fasiliti berkenaan adalah, Bilik Simulasi Kapal Laut Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, serta pameran C-Tech iaitu pameran inovasi yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh, kehadiran pihak SPP ke institusi pendidikan itu mencerminkan komitmen tinggi untuk memahami realiti operasi institusi secara langsung.
“Perancangan perjawatan yang tepat bukan sekadar memenuhi kekosongan, tetapi memastikan setiap program mempunyai kepakaran yang kompeten dan mampan bagi menjamin kualiti penyampaian TVET yang relevan dengan industri,” katanya menerusi kenyataan sama.
Ujar kenyataan sama, justeru PUO berharap melalui lawatan bersepadu itu, kerjasama erat dengan SPP akan terus memantapkan ekosistem perkhidmatan pendidikan.
Katanya lagi, ia sekali gus menyokong matlamat negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui sistem pengajian yang stabil dan efisien. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


