Sistem pengangkutan awam diperkukuh, tangani kesesakan mencabar di ibu negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan dasar pengawalan jumlah kenderaan bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik terutamanya di Lembah Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa ini kerajaan melaksanakan mitigasi khususnya pada musim perayaan walaupun pertambahan kenderaan meningkat saban hari.

“Tahun lepas, kita telah menjual sebanyak 820,000 kenderaan dalam negara. Kalau cakap ada dasar untuk end of life dan sebagainya, nanti akan ada masalah lain atau aduan lain.

“Jadi sementara ini, kita belum ada apa-apa dasar dari segi pengawalan (jumlah) kenderaan tetapi untuk jangka masa panjang, kita kena melihat perkara ini.

“Tahun lepas kita menjadi pasaran kenderaan yang paling besar di seluruh Asia Tenggara walaupun jumlah penduduk kita hanya lebih 30 juta, kita jual kereta lebih banyak daripada Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempenan Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam sebagai alternatif kepada rakyat, termasuk mempercepatkan pembukaan Laluan LRT3 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ia sebagai salah satu langkah mitigasi untuk memberikan option kepada penumpang. Bukan kita tidak mahu membuka LRT3, tetapi terdapat ujian-ujian yang perlu dipatuhi sebelum ia boleh dibuka kepada orang ramai,” jelasnya.

Katanya, usaha memperluas dan menambah baik pengangkutan awam merupakan antara langkah penting bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian, sekali gus menangani isu kesesakan yang semakin mencabar.

Dalam perkembangan berasingan, Anthony berkata, bagi perayaan Tahun Baharu Cina sebanyak tiga set perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang baharu akan ditambah.

“KTMB juga akan menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sepanjang tempoh perayaan ini adalah sebanyak 58 trip sehari.

‘Ini termasuk tambahan dua trip ke Padang Besar dengan jumlah tempat duduk yang ditawarkan sebanyak 5,040 yang mana penjualan tiket telah dibuka pada jam 12.15 tengah malam tadi bermula 15 Februari sehingga 22 Februari 2026 menggunakan set ETS ke-8,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI