UPSI universiti pertama santuni mangsa banjir Pidie Jaya, Banda Aceh

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang tampil menyantuni dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pidie Jaya, Banda Aceh.

Langkah proaktif ini dijayakan menerusi gabungan strategik dua entiti utama universiti iaitu Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dan Pusat Alumni UPSI yang menggabungkan misi pengantarabangsaan akademik serta program Kembara Santuni Alumni Antarabangsa di wilayah Aceh yang melabuhkan tirainya semalam.

Timbalan Dekan FPM, Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan berkata, inisiatif ini adalah manifestasi keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap nasib saudara serumpun yang masih dalam fasa pemulihan pasca musibah.

Menurutnya, kehadiran UPSI untuk misi bantuan tersebut adalah satu tanggungjawab bagi memastikan penduduk di situ tidak terpinggir daripada menerima sokongan moral dan material.

“Kehadiran delegasi UPSI disambut dengan penuh rasa syukur oleh penduduk. Kita turut menyampaikan sumbangan pek keperluan asas kepada keluarga yang terjejas bagi meringankan beban dan sebagai persiapan untuk menyambut bulan Ramadan,“ katanya dalam satu kenyataan.

UPSI universiti pertama santuni mangsa banjir Pidie Jaya, Banda Aceh
Dr Abdul Halim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada alumni UPSI di Banda Aceh. Foto UPSI

Dalam pada itu, Dr Abdul Halim memaklumkan bahawa UPSI juga turut menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 kepada bekas pelajar Universitas Syiah Kuala (USK) yang terkesan akibat bencana tersebut.

Katanya, delegasi UPSI turut memanfaatkan keberadaan di USK sepanjang lima hari lawatan untuk menjayakan rangka kerja akademik menerusi penganjuran Seminar Internasional bertemakan Menguatkan Fitrah Anak Usia Dini Melalui Konseling.

Tambahnya, seminar tersebut adalah dengan kerjasama Himpunan Mahasiswa  Bimbingan dan Konseling (HIMA BK) bersama HIMA PAUD (Pendidikan Anak Usia Dini), Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP).

“Seminar ini menjadi platform strategik bagi mempromosikan program pascasiswazah UPSI dalam usaha menarik minat lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar Indonesia melanjutkan pengajian di Tanjung Malim,“ ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Alumni UPSI meneruskan agenda memperkasakan jaringan menerusi sesi pertemuan bersama 45 alumni UPSI yang kini berkhidmat di Aceh bagi tujuan pengemaskinian data profil kerjaya dan pangkalan data alumni.

“Delegasi turut mengadakan sesi Ziarah Kasih ke Sekolah Dasar Islam Terpadu (SDIT) Bayyinah Tahfizul Qur’an yang dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh alumni UPSI sekali gus membuktikan kualiti kemenjadian graduan UPSI di pentas antarabangsa.

“Sinergi antara FPM dan Pusat Alumni dalam misi itu membuktikan UPSI mampu bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh dalam mengimbangkan peranan menarik kemasukan pelajar antarabangsa serta menyantuni kebajikan komuniti serantau menjelang Ramadan,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI hantar akademia mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI